MELAKA: Sebanyak 1,299 premis di seluruh negara termasuk 351 bangunan merangkumi hotel, pejabat, storan am dan pusat beli-belah serta pejabat kerajaan masih belum mempunyai Sijil Perakuan Bomba (FC) kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.
Katanya, berdasarkan rekod sehingga bulan ini, terdapat sebanyak 8,328 premis berstatus ‘premis ditetapkan’ di seluruh negara.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 7,829 premis telah mendapat FC, manakala 1,299 atau 15.6 peratus belum mempunyai sijil berkenaan.
“Mengikut pecahan, 642 daripada jumlah premis tersebut adalah bangunan kerajaan dan hanya 290 telah mendapat FC, manakala baki 351 masih belum mempunyai perakuan bomba,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jabatan dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang peringkat Melaka di Kota Laksamana di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pihaknya turut mengeluarkan notis kepada pemilik premis berkenaan, namun segelintir meminta untuk menangguhkan pemeriksaan keselamatan itu susulan ingin menyelenggara bangunan terlebih dahulu.
“Ada pemilik bangunan meminta pemeriksaan ditangguhkan kerana ingin membaiki premis mengikut perkara yang perlu dipatuhi bagi mendapatkan FC setelah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Memahami keadaan itu, kita menggunakan pendekatan berbincang dan menasihati mereka untuk membuat permohonan semula agar tidak dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta 341,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata, bagi negeri ini, terdapat sebanyak 454 premis berstatus ‘premis ditetapkan’ dengan 390 buah telah mempunyai FC, manakala 64 yang lain masih belum mendapat perakuan.
Terdahulu, pada majlis itu beliau turut menyampaikan Skim Takaful dan sumbangan berjumlah hampir RM194,000 kepada Noraida Che Nor iaitu balu kepada Allahyarham Mohd. Diya Che Jusoh, anggota bomba yang lemas ketika operasi menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat di sini, bulan lalu.
Bantuan itu membabitkan Skim Takaful Berkelompok, Koperasi Pekerja Bomba dan Penyelamat Malaysia Berhad, Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia dan Ibu Pejabat JBPM. – UTUSAN ONLINE