PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan sedikit peningkatan kes positif Covid-19 iaitu 6,517 kes berbanding semalam, 6,323 kes sekali gus mengatasi 6,026 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 544 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 269 kes memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP).
“Daripada 6,517 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 125 kes (1.9 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima.
“Bakinya, 6,392 kes (98.1 peratus) adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sembilan kluster direkodkan sekali gus menunjukkan peningkatan berbanding semalam hanya empat kluster.
“Jumlah terbabit menjadikan keseluruhan kluster aktif sebanyak 286 kluster manakala 5,551 kluster yang telah tamat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan penurunan jumlah kematian yang dilaporkan iaitu 49 kes berbanding kelmarin, 59 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 29,535 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak 14 daripada 49 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 5,975 kes. – UTUSAN