BANDAR MELAKA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini mencatatkan pertandingan paling sengit apabila 112 calon disahkan akan bertanding untuk merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ia menyaksikan pertembungan calon-calon pilihan selain mencipta sejarah negeri ini apabila semua 28 kerusi DUN ditandingi tiga penjuru dan lebih.
Terdapat beberapa kerusi panas dengan tiga kawasan DUN ditandingi melibatkan pertembungan enam calon.
Ini termasuk DUN Asahan yang membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Idris Haron yang berentap dengan lima individu lain iaitu Fairul Nizam Roslan (BN), Dhanesh Basil dari Perikatan Nasional (PN) dan tiga calon Bebas.
Malah nama-nama besar seperti Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang bertanding di DUN Tanjung Bidara berdepan saingan tiga penjuru antara beliau
dengan calon PN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Zainal Hassan dari Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari juga berdepan cabaran getir dengan pertandingan empat penjuru di kerusi DUN Bukit Katil.
Adly ditentang calon BN, Datuk Hasnoor Sidang Husin yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya dan dua lagi calon adalah wakil PN, Muhammad Al Afiz Yahya serta calon Bebas, Abdul Hamid Mustafar.
Adly sebelum ini menang kerusi itu ketika PRU-14 dengan majoriti 3,159 undi dalam pertandingan tiga penjuru antara BN dan Pas.
Situasi hampir sama dihadapi Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok Kiew yang berdepan cabaran sengit lima penjuru di DUN Bemban.
DUN itu ditandingi calon BN, Koh Chin Han selain Mohd. Yadzil Yaakub (PH) dan dua calon Bebas iaitu Ng Choon Koon dan Azmi Kamis.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, kehadiran 112 calon dalam pilihan raya menunjukkan simulasi sebenar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan pihak-pihak bertanding akan menguji sejauh mana sokongan rakyat terhadap mereka selama ini.
Malah katanya, PRN Melaka menjadi jatuh bangun BN dan PN setelah mereka mengambil keputusan untuk bergerak solo dalam pilihan raya meskipun menjadi rakan kerjasama di peringkat Persekutuan.
Jelas beliau, kehadiran 22 calon Bebas menunjukkan terdapat individu cuba menjadi suara alternatif kepada rakyat memilih wakil rakyat setelah mereka mulai berasa bosan dan muak dengan percaturan ahli politik masa kini.
“Tanpa disangkal PRN Melaka kali ini meriah dengan 112 calon di samping semua kawasan ditandingi antara tiga hingga enam penjuru apabila mereka dilihat mencuba nasib sama ada benar-benar diterima rakyat atau sebaliknya.
“Walaupun Melaka adalah negeri kecil, tidaklah seperti Sabah, tetapi perkembangan susulan penamaan calon semalam jelas mencerminkan kemeriahan situasi politik yang bakal berlaku selepas ini khususnya dalam mendepani pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Terdahulu Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh memaklumkan, sebanyak 112 calon mewakili pelbagai parti disahkan bertanding dengan pecahan terdiri daripada BN (28), PN (28), PH (28), Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (lima), Parti Perikatan India Muslim Nasional (satu) dan Bebas (22).
Selain itu, secara keseluruhannya bilangan pertandingan mengikut penjuru adalah tiga penjuru (11 DUN), empat penjuru (sembilan DUN), lima penjuru (lima DUN) dan enam penjuru (tiga DUN).
Dalam pada itu, Mazlan berkata, PRN Melaka bakal mencorakkan jajaran politik yang bakal terjadi dalam PRU15.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd. Muis berpandangan, pertandingan lebih tiga penjuru memberi kelebihan kepada BN dan PH.
Menurut beliau, BN dan PH memiliki akar umbi yang kuat di Melaka dan calon yang diketengahkan lebih dikenali masyarakat setempat berbanding calon PN.
Bagaimanapun katanya, kewujudan akar umbi PN untuk berdepan PRN Melaka tidak boleh dinafikan kerana kerjasama Pas, namun parti itu tidak menang kerusi di Melaka pada PRU-14.
PRN Melaka diadakan pada 20 November ini ekoran pembubaran DUN Melaka yang ke-14 pada 4 Oktober lalu seperti mana di bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka ekoran empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md. Ali.