SWCorp kenal pasti 102 lokasi sampah haram di Kedah 

102 lokasi sampah haram di Kedah 

NORDIN AMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebanyak 102 lokasi sampah haram dikesan di negeri ini sejak tiga tahun lalu dengan kebanyakannya terletak berdekatan kawasan perindustrian.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah, Nordin Amat berkata, daripada jumlah itu sebanyak 59 lokasi telah ditutup manakala 43 lokasi lagi masih aktif.

Katanya, sehingga kini sebanyak lapan kes sampah haram telah dibawa ke muka pengadilan dan enam daripadanya telah disabitkan dengan kesalahan oleh mahkamah melibatkan denda antara RM10,000 hingga RM30,000.

“Kebanyakan lokasi sampah haram ini terletak di Kulim dan Sungai Petani. Lokasi tersebut biasanya terletak berhampiran dengan kawasan industri. Sehingga kini kita sedang menyiapkan 10 lagi kertas siasatan dan sedang menanti keizinan untuk mendakwa dari Timbalan Pendakwaraya Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Sebelum ini memang terdapat kekangan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini selepas segalanya selesai, kita bawa lagi beberapa kes untuk tujuan pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman merasmikan Majlis Apresiasi Sempena Sambutan ‘World Clean Up Day’ (WCD) dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (Perkiss) sempena Hari Kitar Semula Kebangsaan Peringkat Negeri 2021, di sini hari ini.

Mengulas mengenai 43 lokasi sampah haram yang masih aktif, Nordin berkata, pembantu penguatkuasa sentiasa melakukan pemantauan di lokasi-lokasi tersebut bagi memastikan sisa-sisa buangan tidak terus ‘dilonggokan’ di situ.

“Apabila kita kenal pasti lokasi sampah haram, kita akan naikkan gegantung sebagai peringatan kepada orang ramai agar tidak terus membuang sampah di kawasan berkenaan dan jika pemantauan mendapati sampah terus dibuang di situ, kita akan ambil tindakan lanjut di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

“Lokasi-lokasi sampah haram ini sebahagian besarnya melibatkan sisa binaan dan domestik. Cuma ada sesetengah tempat saja yang melibatkan sisa sisa elektronik (E-waste),” katanya.

Sementara itu Mohd. Hayati dalam ucapannya memberitahu, terdapat sebanyak 23 lokasi sampah haram dikesan di Sungai Petani menjadikannya yang tertinggi dalam negeri ini.

“Sampah-sampah ini ada di antaranya hanya ditinggalkan di tepi-tepi jalan. Di pihak kerajaan negeri, kita sentiasa memberi keutamaan terhadap soal pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya