1,000 pokok bakau ditebang undang hakisan - Utusan Malaysia

1,000 pokok bakau ditebang undang hakisan

JEFRIDIN Atan (kanan) mengadakan perbincangan mengenai kecurian pokok bakau dengan kakitangan Pejabat Hutan Daerah Johor Selatan ketika melawat Kampung Sungai Durian di Kukup, Pontian, di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Penduduk yang tinggal di Jalan Kebun Baru, Kampung Sungai Durian di sini khuatir dengan kes kecurian pokok-pokok bakau yang dilaporkan semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini di kawasan hutan bakau di Kukup Laut, di sini.

Mereka mendakwa, kira-kira 1,000 batang pokok bakau yang menjadi benteng mencegah hakisan itu telah ditebang secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mungkin boleh mengundang perkara tidak diingini kelak.

Malah, pihak terbabit dipercayai menebang pokok-pokok berkenaan di bahagian dalam hutan bakau yang tidak boleh dilihat dengan mudah dipercayai untuk mengaburi mata penduduk atau pihak berkuasa.

Pemimpin masyarakat di kampung berkenaan, Sahadan Rahmat berkata, penduduk kesal kerana kegiatan mencuri pokok bakau boleh memberikan kesan kepada kira-kira 150 penduduk di kampung terbabit.

Katanya yang juga Ketua UMNO Cawangan Sri Hilir, kedudukan pokok-pokok bakau yang hanya 50 meter dari kawasan perkampungan yang mempunyai 30 buah rumah itu semakin ‘menipis’ disebabkan perbuatan tersebut.

“Keadaan itu boleh menyebabkan hakisan kerana benteng sedia ada tidak mampu lagi berperanan sebagai penahan ombak dan akhirnya akan berlaku limpahan air laut ke kampung kami.

“Bukan sahaja melibatkan rumah penduduk, tetapi kebun-kebun pertanian seperti kelapa sawit, pokok pisang akan digenangi air masin dan boleh menyebabkan berlakunya kerosakan pada tananam tersebut,” ujarnya ketika ditemui di sini, semalam.

Sehubungan itu, Sahadan berharap, tindakan tegas dapat segera diambil bagi menangkap dan mendakwa mereka yang melakukan kegiatan tersebut tanpa memikirkan kesan kepada alam sekitar dan penduduk kampung.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Jefridin Atan berkata, beliau menerima aduan daripada penduduk kampung berkenaan yang mendakwa berlakunya kegiatan mencuri  pokok bakau sejak dua minggu lalu.

Menurut beliau, apabila berlaku kejadian ribut dan hujan lebat, pokok-pokok bakau yang semakin berkurangan menyebabkan bumbung rumah-rumah penduduk di kampung tersebut  diterbangkan angin.

“Kegiatan itu sekiranya tidak dicegah boleh memberikan kesan kepada penduduk memandangkan pokok-pokok bakau merupakan benteng bagi mencegah kejadian seperti hakisan dan sebagainya.

“Kita harap kegiatan tersebut dapat dibendung kerana pokok-pokok bakau di kawasan Kukup juga menjadi ‘penampan’ mengurangkan risiko hakisan selain boleh menyebabkan air laut melimpah masuk ke Jalan Kebun Baru,” katanya.

Terdahulu, Jefridin mengadakan pertemuan dengan Penolong Pemelihara Hutan, Pejabat Renjer Daerah Johor Selatan, Md. Hasroni Idris, dan Pegawai Hutan Kanan, Abdul Razak Salim bagi membincangkan mengenai isu tersebut. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya