PUTRAJAYA: Bekas pelumba basikal BMX kebangsaan, Noor Quraataina Mamat, 26, dan sembilan ahli keluarga termasuk bayinya kini disahkan positif Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin di rumahnya di Dungun, Terengganu.
Pemenang pingat gangsa acara lumba basikal BMX di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu juga melahirkan rasa sedih dan sayu kerana bayinya, Que Afwa Marissa Ardelia Mohd Azizul, baru berusia lima bulan 16 hari juga dijangkiti wabak itu.
“Maafkan mami sayang. Mami dan berusaha sebaik mungkin. 24 jam mami pakai mask (pelitup muka) duduk dengan awak. Tapi virus ni dok nampok (tidak nampak). 11 orang dalam rumah ni. 10 dah positif. Hari ke-8 baru awak positif. Harap kakak awak negatif sampai ke akhir,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Hantaran itu mengundang rasa sayu dalam kalangan warganet yang mendoakan semoga Quraataina dan keluarganya cepat sembuh dan dipermudah segala urusannya.
Sebelum ini, media melaporkan Quraataina mengumumkan persaraannya daripada arena sukan BMX selepas acara disertai tidak dipertandingkan di Sukan Asia 2018.
Pada temasya KL2017 lalu, Quraataina meraih gangsa dengan atlet Indonesia, Elga Kharisma Novanda memenangi emas dan perak menjadi milik atlet Thailand, Chutikan Kitwanitsathian.
Justeru, Quraataina meletakkan sasaran sekurang-kurangnya layak ke final sekiranya dia sekali lagi dipilih mewakili Malaysia dalam acara kegemarannya itu di Sukan Asia Jakarta 2018 dan Sukan Olimpik Tokyo 2020. – UTUSAN ONLINE