JOHOR BAHRU: Johor komited memperkasa seramai 1.6 juta belia berusia 18 hingga 40 tahun di negeri ini melalui pelbagai program pembangunan yang dirancang selaras dengan pembentangan Belanjawan Johor 2022, kelmarin.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, program itu melibatkan pelbagai bidang termasuk sukan, kecergasan, sosial, kesenian, kepemimpinan dan kemasyarakatan.
Katanya, tumpuan turut diberi kepada golongan mahasiswa melalui pelbagai program seperti Skim Bantuan Pendidikan, Program Johor Upskilling and Reskilling, Latihan Lepasan Siswazah Johor, Johor Skills Oil and Gas dan Pensijilan Tenaga Mahir Johor.
“Antara usaha yang dilaksanakan adalah dengan memperkasa peranan Southern Volunteers Johor Youth Development Centre (Joydec) dan memperluas Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) ke Kluang dan Pasir Gudang tahun depan.
“Selain itu, pelbagai inisiatif berteraskan sukan menerusi penglibatan atlet dan masyarakat dengan peruntukan RM14.5 juta dijalankan seperti Program GRIT Johor 2030 dan Karnival Sukan Makmur XTIF Johor,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Festival Orang Muda Johor 2021 di TMIYC Johor Bahru, di sini hari ini.
Berkenan hadir menyempurnakan majlis, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani. – UTUSAN ONLINE