KUALA LUMPUR : Penyanyi dan bekas anggota kumpulan One Direction, Zayn Malik, dilaporkan sekali lagi berpisah dengan pasangannya, Gigi Hadid setelah empat tahun menjalin semula hubungan.
Menurut laporan media antarabangsa, perkara itu berlaku disebabkan Zayn didakwa menyerang ibu Gidi, Yolanda Hadid, selepas terlibat dalam satu pertengkaran sekitar awal Oktober lalu.
Bagaimanapun, hal itu dinafikan oleh Zayn dengan tidak menolak bahawa mungkin ada pihak yang cuba mengeruhkan lagi hubungannya dengan Gigi dengan melemparkan dakwaan seperti itu.
“Saya tidak menolak wujud pertengkaran dengan salah seorang anggota keluarga Gigi yang memasuki rumah kami ketika dia tidak ada di rumah beberapa minggu lalu.
“Bagi saya, ia seharusnya menjadi satu isu peribadi. Tetapi, nampaknya, ada yang cuba mengeruhkan keadaan di sebalik usaha saya yang mencuba untuk mengamankan suasana dalam keluarga selain berusaha untuk bersama-sama menjaga anak kami.
“Tetapi, hal seperti ini disampaikan pula kepada pihak media,” katanya dalam satu temu bual dengan portal TMZ.
Tidak melatah dengan keadaan itu, Zayn bagaimanapun menetapkan keutamaan untuk memberikan ruang privasi sementara waktu buat Gigi selain menumpukan perhatian kepada anak mereka, Khai yang kini berusia 13 bulan.
Sementara itu, Gigi dalam satu kenyataan rasmi semalam, memaklumkan bahawa dia juga akan memberi tumpuan penuh buat anak mereka dan mahu melakukan yang terbaik buat Khai.
Selain itu, dia mengaku telah meminta ruang privasi daripada Zayn bagi menenangkan fikiran dan membuat keputusan.
Hubungan Zayn dan Gigi sering berlaku secara On dan Off sejak tahun 2015 dan kali terakhir mereka menjalin semula hubungan dengan baik adalah pada tahun 2019.