Warisan tidak gembira dengan peruntukan untuk Sabah - Utusan Malaysia

Warisan tidak gembira dengan peruntukan untuk Sabah

MOHD. AZIS JAMMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: “Tiada apa yang boleh digembirakan dengan peruntukan Bajet 2022 kepada Sabah kali ini,”.

Itu pandangan Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Mohd. Azis Jamman mengenai peruntukan pembangunan yang diberikan kepada Sabah menerusi Bajet 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz Jumaat lepas.

Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, peruntukan pembangunan berjumlah RM5.2 bilion itu tidak setimpal dengan sumbangan Sabah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu.

Katanya, Sabah menyumbang RM161 bilion atau 10.2 peratus kepada KDNK negara tahun lalu tapi, peruntukan yang diterima masih tidak banyak beza dengan belanjawan tahun ini.

“Kalau Sabah boleh menyumbang RM161 bilion tapi, peruntukan kita terima hanya RM5.2 bilion, adakah kita boleh gembira dengan peruntukan ini?.

“Keadaan infrastruktur di Sabah masih jauh ketinggalan dan memerlukan peruntukan yang jauh lebih besar.

“Di Sabah, kita masih bercakap mengenai kereta api zaman British manakala, di Semenanjung sudah bercerita tentang pembinaan kereta api laju dari Johor ke Pahang malah, ingin dibina sehingga ke Thailand,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Azis berkata, belanjawan itu tidak banyak berbeza dengan belanjawan yang diumumkan sebelum ini iaitu RM5.2 bilion pada 2020 dan RM5.1 bilion tahun ini. Maka, sebagai rakyat Sabah ia bukan satu peruntukan yang boleh dibanggakan.

Jelas beliau, 74 peratus projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di Sabah masih belum disiapkan dan sering dibawa ke hadapan tanpa ada projek berimpak tinggi diumumkan.

Situasi ini cukup berbeza dengan keadaan di Semenanjung iaitu projek-projek baharu yang berimpak tinggi sering dibangunkan menerusi rancangan pembangunan yang diumumkan setiap lima tahun.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya