GEORGETOWN: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) dilaporkan maut dalam kejadian kebakaran melibatkan dua buah premis di Jalan Kerian di sini, petang tadi.
Mangsa yang belum dikenal pasti identiti itu ditemukan dalam keadaan melecur pada bahagian kepala di atas katil di bilik pertama tingkat atas kira-kira pukul 4 petang tadi.
Bangunan tersebut dijadikan sebagai penginapan manakala aras bawah merupakan sebuah pusat karaoke.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, A’Azelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pukul 3.34 petang dan tiba di situ kurang 10 minit kemudian.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, didapati api sedang marak di bahagian atas.
“Pasukan kami berdepan kesukaran memasuki ke tingkat atas premis berkenaan selain setiap pembahaginya ditutupi dengan papan lapis.
“Hasil pemeriksaan lanjut, kami menemukan mayat OKU di atas katil bilik utama berdasarkan penemuan peralatan miliknya di tempat tidur.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan melecur dan kita percaya dia maut akibat terhidu asap dalam kejadian kebakaran itu,” katanya di sini hari ini.
Beliau memberitahu, anggaran peratusan kebakaran adalah 30 peratus dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 4.20 petang.
Tambahnya, operasi pemadaman api turut dibantu pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai dan Paya Terubong serta anggota bomba sukarela berhampiran. – UTUSAN ONLINE