TAWAU: Seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak semalam ditemukan maut dipercayai dibaham buaya di Kampung Serudung Laut, Kalabakan hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) daerah, Julius John Stephen berkata, mayat mangsa, Fosanih Nansel, 22, ditemukan pada pukul 8 pagi tadi pada jarak 300 meter daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai wanita yang hilang dipercayai dibaham buaya itu pada pukul 8.19 malam semalam.
“Seramai lima pegawai dan anggota BBP Tawau bersama empat anggota sukarelawan bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Walau bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat (SAR) tidak dapat dilakukan semalam berikutan risiko kawasan kejadian dan keadaan yang gelap pada waktu malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, SAR dimulakan pagi tadi dan mangsa ditemukan oleh orang awam pada jarak 300 meter daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi SAR ditamatkan pada pukul 10.27 pagi. -UTUSAN ONLINE