TOCHIGI: Rata-rata pencabar Maverick Vinales di MotoGP memberi sokongan terhadap pelumba Aprilia itu yang tidak akan beraksi pada Grand Prix (GP) Americas hujung minggu ini susulan kematian sepupunya, Dean Berta, Sabtu lalu.
Berta, yang baharu berusia 15 tahun dan menunggang jentera pasukan diketuai bapa Vinales, terlibat dalam kemalangan ketika perlumbaan WorldSSP300 di Jerez.
Keesokan paginya, Vinales berkunjung ke litar tersebut bagi memberi penghormatan terakhir kepada Berta dan bertafakur selama seminit.
Juara bertahan, Joan Mir dari Suzuki berkata, dia faham dengan keadaan Vinales sambil menyifatkan pelumba tersebut pasti tidak selepas untuk berlumba di GP Americas.
“Keputusan Aprilia adalah sesuatu yang sangat bagus. Saya rasa pelumba akan lebih menghargai perkara seperti ini (yang dibuat oleh pasukan),” katanya.
Turut sama memberikan sokongan, rakan sepasukan Mir, Alex Rins, sambil memberitahu dia pernah berjumpa dengan Berta sekali ketika mendiang menjalani latihan bersama Vinales.
“Ia sangat sukar ketika anda kehilangan salah seorang ahli keluarga. Saya bersama Maverick, susulan kematian sepupunya,” kata Rins.
Selain pasukan Suzuki, beberapa nama besar seperti Fabio Quartararo dari Yamaha, Francesco Bagnaia (Ducati) dan juara dunia enam kali, Marc Marquez (Honda) turut memberikan sokongan kepada Vinales.
“Saya akan berlumba sendirian hujung minggu ini. Saya sangat faham dan menghormati keputusan Maverick. Saya memuji tindakannya kerana ia bukan mudah.
“Terima kasih juga kepada Aprilia kerana memberikan kebenaran untuk Maverick menarik diri. Saya kagum dengan keputusan mereka,” kata rakan sepasukan Vinales, Aleix Espargaro.- AGENSI