PETALING JAYA: Jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida memanfaatkan kebenaran merentas negeri dengan menziarahi pusara kedua-dua pusara anakanda kesayangannya, Allahyarham Muhammad Eddie Zuhdi dan Muhammad Edrie Zikrie.
Menerusi entri Instagram, penyanyi lagu popular I Am Me itu memuat naik beberapa hantaran video yang memaparkan dia di pusara anaknya dengan mengalunkan bacaan doa selain mengenangkan pemergian mereka.
Menurut Vida, sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini adalah kali pertama dia menjejakkan kaki di pusara berkenaan yang terletak di Ipoh, Perak.
“Rentas negeri pertama. Rentas negeri cara saya. Saham akhirat saya.
“Dua putera saya dijemput Ilahi dalam satu musibah dan trajedi yang tidak boleh dilupakan sepanjang hayat,” katanya.
Mengulas lanjut, akui tragedi terdahulu masih tersemat di dalam ingatan selepas kehilangan serentak dua permata hatinya, namum dia percaya mereka akan berjumpa di syurga Allah kelak.
“Pemergian mereka umpama saya pun turut ‘pergi’. Tiga bulan saya gagah, bangkit melawan kesakitan kehilangan orang tersayang yang pergi tak kembali.
“Masih segar dalam ingatan, masih terngiang serta terbayang apa yang berlaku. Seandainya mereka masih ada, sekarang sudah besar serta dewasa lingkungan 20-an.
“Lapan tahun berlalu, anak-anak syurga ini sedang menunggu saya di syurga untuk kembali bersatu. Tunggu dan doakan mama,” coretnya panjang di Instagram.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, rata-rata warganet dan selebriti turut sama menzahirkan perasaan sedih selain menitipkan kata-kata semangat buat usahawan berkenaan.
Sekadar informasi, kedua anakandanya itu merupakan mangsa korban dalam satu tragedi kebakaran rumah teres dua tingkat pada tahun 2013.