Urban Method kembali wakili Hip Hop Penang - Utusan Malaysia

Urban Method kembali wakili Hip Hop Penang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pernah mewarnai dunia seni hiburan tanah air khususnya dalam arena muzik hip hop, Urban Method kembali bangkit dengan satu semangat baru selepas 15 tahun menyepikan diri.

Menganggap ini adalah masa terbaik untuk membuat kemunculan semula, Urban Method yang dianggotai oleh Mahadir, 39, Munawir, 40, Hazairi,39,Muneer,37 dan Sayuti, 39, mengambil langkah berani untuk bergerak semula sebagai sebuah kumpulan meski sedar industri hip hop kini telah digenggam oleh generasi muda.

Bagaimanapun, kebangkitan semula kelima-lima mereka ini bukanlah untuk mencabar mana-mana kumpulan hip hop baru walaupun kewujudan Urban Method sudah seangkatan dengan perjuangan kumpulan-kumpulan legenda muzik ini.

“Ini adalah masa yang terbaik. Realitinya, memang kami bersetuju bahawa mungkin zaman hip hop tidak segah dahulu. Tapi kami lakukan ini kerana minat berbanding glamor. Kami sendiri kagum dengan kehadiran pelapis-pelapis baru yang sangat berbakat dan berkualiti.

“Contohnya Aman Ra, K-Clique dan ramai lagi. Ia menunjukkan muzik genre ini masih diterima ramai.

“Satu yang kami puji, walaupun ramai budak-budak baru sekarang yang menjadi legasi hip hop semasa, rata-rata mereka sangat mudah memberi kerjasama dan tidak lokek ilmu dunia baru. Maklumlah, tempoh 15 tahun menyepikan diri, banyak perkara yang perlu kami belajar semula kerana situasi sudah tidak sama macam dulu,”kata Mahadhir.

Mahadhir berkata demikian semasa ditemui di majlis sidang media pelancaran single terbaru kumpulan Urban Method, Domo Arigato yang diadakan di Publika, di ibu kota hari ini.

Selain itu, ditanya sama ada kebangkitan mereka kali ini juga adalah kerana ‘terpukul’ dengan kehebatan kumpulan K-Clique yang membawa jati diri anak Sabah, Mahadhir memberikan jawapan tersendiri.

Menurutnya, menjadi budaya dalam setiap kumpulan hip hop untuk mewakili latar belakang dan tempat masing-masing dan memandangkan kesemua anggota Urban Method sememangnya merupakan anak kelahiran Pulau Pinang, tiada salahnya jika mereka pula mewakili negeri julukan Pulau Mutiara tersebut.

“Ini bukan soal persaingan. Bagi kami dalam industri muzik, kita bukan mahu mencabar sesiapa tetapi cuma mahu mewarnakan dunia hip hop. Tetapi, kalaupun ada yang menganggap ia macam satu persaingan, ya, ia mungkin boleh dilihat dari sudut yang sihat.

“Setiap penyanyi atau kumpulan hip hop memang akan mewakili tempat asal mereka masing-masing.Macam MC Size, wakil Brickfields, Waris wakili Negeri Sembilan, Nico wakili Kampung Baru dan kami mewakili Pulau Pinang.

“Tiada masalah untuk kita sama-sama bersaing secara sihat. Tak cuma di peringkat lokal, malah di peringkat luar negara juga begitu. Tidak wujud pun istilah begitu kerana kami semua contohnya di kalangan orang lama, masing-masing masih berkawan dan saling membantu,”katanya.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai single berjudul Domo Arigato, Urban Method telah mendapatkan sentuhan komposer dan penyanyi, Damian Mikhael dan Alzy untuk sama-sama menghasilkan lagu tersebut.

Sengaja memilih judul dalam bahasa Jepun, Muneer mewakili kumpulan memberitahu, ia tetap menyampaikan makna yang sama iaitu terima kasih sebagai penghargaan buat semua peminat dan pengikut yang sentiasa menyokong kerjaya mereka selama ini.

“Walaupun boleh sahaja kami menggunakan bahasa Melayu, tetapi apa salahnya jika kami tampilkan sedikit kelainan. Idea itu datang secara spontan dan kebetulan ia dirasakan begitu mengena dengan lirik yang dihasilkan.

“Satu lagi, di peringkat Asia, rasanya ucapan Domo Arigato ini lebih popular di kalangan orang luar. Jadi sengaja kami gunakannya untuk projek single kali ini,”katanya.

Lagu Domo Arigato boleh diperdengarkan melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music bermula 31 Oktober 2021.

Manakala video muzik lagu Domo Arigato ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Urban Method Music.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya