SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor sedia meminda undang-undang tubuh negeri bagi membolehkan belia berusia 18 tahun mengundi pada pilihan raya akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Belia dan Sukan dan Insan negeri, Mohd. Khairuddin Othman berkata, pindaan itu dijangka dibuat pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hujung bulan depan.
“Pada sidang yang turut membentangkan Belanjawan Selangor itu, kita akan fokus kepada Undi18 yang berkaitan undang-undang tubuh negeri.
“Selain itu, ia melibatkan Enakmen Majlis Penggerak Belia Selangor (PeBS) untuk meletakkan persatuan belia negeri ini ditadbir bawah satu pergerakan,” katanya selepas meninjau program Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan lima negeri didapati belum membuat pindaan kepada Perlembagaan Negeri atau Undang- Undang Tubuh Kerajaan Negeri untuk membolehkan warganegara berusia 18 tahun mengundi mahupun menjadi calon DUN dalam pilihan raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan kerajaan sudah mengadakan perbincangan namun masih menunggu tindakan selanjutnya dari negeri-negeri tersebut.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, sejumlah 5.8 juta pemilih berumur 18 tahun dan ke atas sudah didaftarkan dan mereka boleh melakukan semakan dan pengesahan diri sebagai pengundi secara automatik.
Dalam pada itu, Mohd. Khairuddin berkata, peruntukan yang diperoleh buat masa ini sudah memadai bagi menggerakkan program dan perancangan pembangunan sukan di Selangor. – UTUSAN ONLINE