UMNO satu-satunya perjuang nasib Melayu - Utusan Malaysia

UMNO satu-satunya perjuang nasib Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Putrajaya, Shamsul Mahde Mahmud menyifatkan UMNO adalah satu-satunya parti yang kekal berprinsip memperjuangkan nasib orang Melayu berbanding bekas partinya.

Memetik laporan UMNO Online, beliau berkata, ini kerana wadah perjuangan semakin mengelirukan sejak membuka keahlian kepada warga bukan Bumiputera.

“Saya lihat Bersatu tidak lagi menjurus kepada orang Melayu, malah dicampur dengan keahlian warga yang bukan Bumiputera, jadi saya nampak satu perjuangan yang bukan untuk memartabatkan orang Melayu.

“UMNO lebih fokus kepada perjuangan orang Melayu berbeza dengan Bersatu. Ini bukanlah untuk memburukkan pihak yang sana, tetapi bagi saya fokus untuk memartabatkan orang Melayu itu adalah lagi penting,” katanya selepas sesi penyerahan borang keahlian UMNO baru-baru ini.

Sebelum ini, portal-portal melaporkan lebih 120 orang ahli Bersatu Putrajaya termasuk setiausaha bahagian, ahli jawatankuasa bahagian, kepimpinan Srikandi dan Armada menyertai UMNO setelah mengambil kira perkembangan politik semasa dan masa depan negara.

Sementara itu, Shamsul berkata sebelum bersama Bersatu lagi beliau adalah penyokong UMNO, malah pernah berhasrat untuk bersama dengan perjuangan parti keramat ini.

“Untuk makluman, Bersatu adalah parti pertama yang saya sertai dan memang saya tidak pernah masuk mana-mana parti politik yang lain.

“Sebelum ini memang saya mengikuti perjuangan UMNO tetapi tidak sebagai ahli cuma sebagai pemerhati sahaja.

“Saya rasa hanya UMNO sahaja yang betul-betul boleh dikatakan fokus perjuangan orang Melayu, martabatkan bangsa dan negara jadi sebab itulah saya pilih UMNO dan untuk lepas ini tidak akan ke mana kerana saya sudah melihat sendiri dan tahu serta yakin hanya UMNO yang benar-benar berjuang demi agama dan bangsa Melayu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya