Ulama, umara wajib ganding usaha hapus rasuah - Sultan Nazrin - Utusan Malaysia

Ulama, umara wajib ganding usaha hapus rasuah – Sultan Nazrin

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golongan ulama dan umara tidak boleh memejamkan mata, memekakkan telinga dan membisu lidah terhadap perbuatan rasuah dan mereka wajib berganding usaha serta tenaga berjihad menghapuskan amalan tersebut.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, rasuah adalah barah yang sangat bahaya apabila terbukti menjadi punca penderitaan dan kemiskinan rakyat di samping faktor kejatuhan kerajaan dan pemerintahan serta keruntuhan tamadun dan budaya. 

“Kebelakangan ini dilaporkan, begitu banyak berlakunya rasuah. Berdasarkan berita-berita yang dilaporkan, perlakuan rasuah kini bukan sahaja berlaku secara berleluasa, malah berlaku pada skala  besar. 

“Lebih membimbangkan apabila turut dilaporkan, rasuah dilakukan secara lebih berani lebih terbuka,” titah baginda sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan.

Sultan Nazrin bertitah, kesejahteraan sesuatu bangsa dan kemakmuran negara dipengaruhi sifat dan akal bicara seseorang pemimpin manakala ulama besar, umara berwibawa dan peniaga berjaya lahir dalam sebuah negara mempunyai pemimpin memiliki iman serta takwa.

Titah baginda, jika pemimpin sentiasa insaf terhadap tanggungjawabnya kepada ummah dan negara serta lebih insaf tanggungjawab lebih besar terhadap Allah, maka akan sejahtera hidup ummah dan makmur negara. 

“Khazanah negara akan diurus secara telus, sumber negar diagihkan secara saksama dan kekayaan negara tidak dibazirkan. Pemimpin tidak akan mengizinkan berlakunya himpunan kekayaan diperoleh secara tidak jujur dan tidak telus, apatah lagi melalui kaedah yang meminggirkan peraturan dan mempersendakan undang-undang,” titah baginda.

Titah Sultan Nazrin lagi, negara yang mendapat kesejahteraan, keredaan, berkat dan rahmat Ilahi akan dilimpahi kedamaian dan kemakmuran malah dilindungi bencana serta malapetaka.

 Buminya pula, titah baginda, subur dan kaya sementara warganya hidup rukun dan aman serta pimpinan diamanahkan dalam kalangan insan yang ikhlas, jujur serta bertakwa memiliki rasa belas rasa ihsan kepada warganya di samping mempunyai rohnya menghayati perintah Ilahi. 

“Pemimpin yang baik perlu dibantu oleh barisan ulama yang tegas dan barisan umara yang ikhlas serta diperlengkap dengan para peniaga jujur kerana Rasulullah turut meletakkan status para peniaga yang jujur, sejajar dengan para wali, para siddiqin, para syuhada dan para solihin,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, sambutan Maulidur Rasul sempena ulang tahun memperingati tarikh keputeraan Nabi Muhammad amat relevan bagi ummah mencari mutiara berharga yang terkandung dalam sunah-sunah Rasulullah untuk dijadikan panduan dan pedoman. 

“Dalam menghadapi senario semasa dunia, demikian juga dalam mengamati senario semasa setempat, hikmah dan kebijaksanaan kepemimpinan Baginda, wajib dikunjungi, diambil iktibar dan dijadikan panduan dijadikan pedoman terutama dalam kalangan mereka yang diamanahkan dengan tanggungjawab kepimpinan, baik ulama begitu juga umara,” titah Sultan Nazrin. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya