PARIT BUNTAR: Seramai tujuh pemancing dan seorang tekong bot terselamat dalam kejadian bot terbalik akibat dipukul ombak di perairan Kuala Kurau dekat sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Mohd. Sharenliza Ghazali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 2.40 petang.
Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, didapati semua pemancing telah diselamatkan oleh nelayan.
“Mangsa berusia antara 29 hingga 48 tahun. Semua mangsa dibawa ke jeti dengan menaiki bot Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Polis Marin.
“Mereka menjalani pemeriksaan kesihatan oleh petugas Kementerian Kesihatan sebelum diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing,” katanya di sini hari ini.
Berikutan kejadian itu, Mohd. Sharenliza menasihatkan nelayan dan pemancing agar lebih berhati-hati ketika berada di laut semasa musim tengkujuh.
“Kejadian ini merupakan kes ke-10 yang dilaporkan sepanjang tahun ini. Daripada 10 kes itu, enam mangsa dijumpai maut dan tiga mangsa tidak ditemukan, ” katanya.
Sementara itu, seorang pemancing, Abdul Hafiz Abdul Hamid, 40, berkata, kejadian berlaku pada tengah hari tadi ketika tekong bot memberhentikan bot kira-kira 50 meter sebelum sampai ke lokasi mereka hendak memancing.
Katanya, tekong menghentikan bot disebabkan laut mula bergelora dan ribut.
“Berikutan keadaan itu, tekong membawa bot ke arah sebuah bot nelayan laut dalam yang berhampiran untuk berlindung. Sebaik sahaja menghampiri bot nelayan itu, ombak setinggi lebih tiga meter memukul bot kami menyebabkan bot terbalik.
“Dua orang rakan saya sempat melompat masuk ke dalam bot nelayan itu, manakala saya dan lima rakan yang lain tercampak ke dalam laut.
“Saya berpaut pada dinding bot dan melipatkan kedua-dua belah kaki pada tiang besi bumbung bot semasa bot dipukul ombak. Saya berpaut di situ selama kira-kira setengah jam sebelum diselamatkan oleh krew sebuah bot nelayan,” katanya.
Seorang lagi pemancing, Mohd. Fakrullah Ahmad, 30, berkata, mereka menaiki bot untuk memancing pada pukul 10 pagi dari Changkat, Nibong Tebal, Pulau Pinang dan bercadang untuk memancing di perairan Kuala Kurau selama dua hari.
“Kejadian ini menyebabkan peralatan memancing bernilai puluhan ribu ringgit dan pelbagai dokumen penting termasuk kad pengenalan tenggelam dalam laut,” katanya.