Tubuh jawatan kuasa tangani buli siber, jenayah seksual dalam talian - Utusan Malaysia

Tubuh jawatan kuasa tangani buli siber, jenayah seksual dalam talian

RINA Mohd. Harun menyampaikan Anugerah Pingat Hang Tuan kepada Muhammad Hadif Syazwan Anas sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan, di KPWKM, Putrajaya. - UTUSAN/SITI AI'SYAH SUKAIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Bersepadu Pengurusan Isu Kanak-Kanak Dalam Talian sebagai langkah keselamatan dan perlindungan supaya anak-anak tidak terjebak dengan buli siber atau jenayah seksual dalam talian. 

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, jawatan kuasa tersebut ditubuhkan pada 15 Jun lalu dianggotai 15 ahli pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta serta badan bukan kerajaan dan aktivis sosial.  

Kata beliau, penubuhannya bagi membincangkan langkah-langkah advokasi dan intervensi bersesuaian, lebih-lebih lagi dalam dunia digital pada hari ini yang mana  gajet menjadi teman setia anak-anak. 

“Tindakan ini selaras dengan komitmen negara ke atas Artikel 34 Konvensyen Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu iaitu Eksploitasi Seksual yang menyatakan dengan jelas, kerajaan perlu melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk eksploitasi dan penderaan seksual. 

“Dalam usaha menangani isu keselamatan dalam talian, kementerian komited melaksanakan program advokasi melalui kempen membanteras jenayah seksual kanak-kanak di media sosial serta video pendek,” katanya  selepas merasmikan sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2021 yang bertemakan ‘Anak kita masa depan kita’ di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Rina berkata, masa depan kanak-kanak di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang belum disahkan kewarganegaraan juga sentiasa mendapat perhatian KPWKM. 

“Seramai 126 kanak-kanak yang tidak mempunyai sijil kelahiran dan kewarganegaraan institusi JKM sedang diusahakan supaya tidak ketinggalan dalam mendapat pendidikan arus perdana seiring dengan kanak-kanak lain. 

“Pada masa ini, JKM sedang menjalankan kolaborasi strategik dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendaftaran Negara berhubung perkara ini,” katanya. 

Tambah beliau, antara penambahbaikan dilaksanakan ialah mengehadkan pengambilan kanak-kanak di bawah jagaan pada satu-satu masa mengikut kesesuaian keadaan dan membuat pemantauan secara berkala ke atas kanak-kanak bersama orang yang layak dan sesuai. 

“Kementerian juga komited menambah baik prosedur pengurusan pusat jagaan terutama pusat jagaan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) dengan menekankan pengasuhan dan latihan psikososial yang berkualiti kepada penjaga dan petugas di pusat jagaan berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya