ARAU: Tempoh pelantikan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dilanjutkan selama lima tahun mulai 13 Disember hingga 12 Disember 2026.
Istiadat penyerahan watikah pemasyhuran semula tersebut disempurnakan Raja Muda Perlis merangkap Canselor Unimap, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Auditorium Bangunan Canselori Unimap, Kampus Alam Pauh Putra di sini semalam.
Yang hadir sama Naib Canselor Unimap, Prof Dr. Zaliman Sauli dan Pendaftar universiti itu, Mohd Saad Din.
Pelantikan tersebut dibuat atas cadangan senat universiti dan diperakukan oleh Menteri Pengajian Tinggi dan ia termaktub dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 11(1) Bahagian II, Perlembagaan Universiti Malaysia Perlis (PU. (A) 25/2007].
Tuanku Hajah Lailatul Shahreen mula dilantik sebagai Pro-Canselor sejak 13 Mac 2009 dan berperanan mewakili Canselor mempengerusikan Istiadat Konvokesyen atau menghadiri mana-mana majlis rasmi atas jemputan universiti.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, sebagai Canselor dan Pro-Canselor, adalah menjadi tanggungjawab untuk baginda berdua terus memayungi Unimap sekali gus memberi sokongan serta dokongan agar universiti berkenaan terus menyerlah di persada nasional mahupun antarabangsa.
Baginda turut menzahirkan beberapa perancangan dan komitmen untuk terus memajukan Unimap, termasuk membuka lebih banyak peluang kerjasama dengan masyarakat dan agensi luar.
“Selain itu, kita menyokong semua aktiviti dan juga mengamalkan dasar keterbukaan bagi perancangan dan gerakan kecemerlangan universiti,” titah baginda.
Baginda juga berdoa agar seluruh warga universiti sentiasa dirahmati dan diberkati seterusnya Unimap akan terus maju dan tersohor dalam mendepani cabaran di masa depan. – UTUSAN ONLINE