PUTRAJAYA: Keunikan perwakilan tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat (AS) kelmarin bukan sahaja menarik minat delegasi negara lain.
Malah inisiatif mereka mengenakan busana batik tempatan yang jadi tema pakaian rasmi penjawat awam di Malaysia setiap hari Khamis, ternyata memberi tuah tersendiri.
Malaysia melakar sejarah apabila buat kali ketiga memenangi salah satu kerusi ahli Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) di PBB bagi penggal 2022 hingga 2024 bermula 1 Januari depan.
Foto-foto eksklusif Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin dengan tiga pegawainya itu turut dikongsi oleh pihak Kementerian Luar di sini.
Beliau menerusi rakaman video ringkas turut dipaparkan membuang kertas undi bagi pencalonan Malaysia dan beberapa lagi negara lain untuk kerusi MHAM itu.
Malaysia berjaya meraih 183 undi serta akan mewakili rantau Asia Pasifik bersama-sama India, Kazakhstan, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Syed Mohamad Hasrin yang dilantik ke jawatan tersebut sejak 2019, sebelum itu berkhidmat sebagai Duta Malaysia ke UAE dari 2017 hingga 2019 selain pelbagai jawatan diplomatik.
Tampil segak bergaya dengan batik berwarna merah muda mengetuai perwakilan Malaysia, penampilan mereka juga ‘mencuri’ perhatian negara lain kerana tampak amat unik berbeza.
Sejumlah 18 negara menang menerusi proses pengundian secara rahsia itu tanpa dinyatakan nama negara yang mengundi bagi mengelakkan berlaku perseteruan diplomatik tidak diingini.
Antara yang juga menang kerusi berkenaan ialah Lithuania dan Montenegro bagi rantau Eropah Timur serta Benin, Cameroon, Eritrea, Gambia dan Somalia yang mewakili benua Afrika.
Turut dipilih ialah Argentina, Honduras dan Paraguay bagi rantau Amerika Latin serta Finland, Luxembourg dan AS yang mewakili rantau Eropah Barat dan lain-lain negara bahagian dunia.
Pengundian bermula dari pukul 10 pagi waktu timur AS (pukul 10 malam waktu Malaysia) Khamis sebelum keputusan rasminya hanya diketahui hampir tengah malam waktu Malaysia.
Kejayaan Malaysia turut dibantu pengalaman rekod cemerlang negara dilakar sebelum ini ketika pernah menjadi ahli MHAM untuk penggal 2006 hingga 2009 dan 2010 hingga 2013.
Malah, Malaysia ketika itu dilaporkan ada kemampuan menang penggal berikutnya dari 2014 hingga 2017, namun peraturan PBB mengehadkan hanya boleh dua penggal berturut-turut.
MHAM yang dianggotai 47 negara, ditubuhkan pada 2006 lalu dengan beribu pejabat di Geneva, Switzerland dan mengadakan sesi mesyuarat tetap sekitar Mac, Jun dan September.
Kerusi keanggotaannya merangkumi masing-masing 13 negara Asia Pasifik, 13 negara Afrika, lapan negara Amerika Latin, enam negara Eropah Timur dan tujuh negara rantau selainnya.