PUTRAJAYA: Sebuah perkampungan masyarakat Orang Asli di Pahang dilanjutkan lagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok hingga 4 November ini
melibatkan Program Pembangunan Bersepadu Desa Terpencil (Prosdet) Kampung Pantos.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, ia susulan penilaian risiko hasil analisis Kementerian Kesihatan terhadap trend jangkitan wabak Covid-19 yang menyaksikan lonjakan kepada 117 kes setakat kelmarin.
PKPD mula dilaksanakan di kawasan yang diduduki lebih 300 keluarga etnik Semai beragama Islam itu pada 8 Oktober lalu susulan kluster komuniti Pantos diisytiharkan sehari sebelumnya.
Penularan bermula daripada dua ahli keluarga yang bergejala demam dan selesema datang mendapatkan rawatan namun telah menjangkiti seramai 144 individu sebagai kontak rapat.
Kampung berkeluasan 116 hektar yang dirancang sebagai estet kelapa sawit sejak 1998 itu terletak dalam Mukim Ulu Jelai, Daerah Lipis dan hanya 90 kilometer dari Bandar Kuala Lipis.
Ia dibangunkan ala skim tanah persekutuan Felda oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), sebuah agensi Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Rodzi dalam pada itu turut memaklumkan, tiada lokaliti baharu yang akan dikenakan PKPD, malahan tiada juga lokaliti ditamatkan sekatan pergerakan secara bersasar tersebut. – UTUSAN ONLINE