Tipu identiti: Wanita Indonesia dipenjara, pengurus PPV didenda

Tipu identiti untuk ambil vaksin: Wanita Indonesia dipenjara, pengurus PPV didenda

KESEMUA tertuduh dibawa keluar selepas dihadapkan ke Mahkamah Ayer Keroh, Melaka. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang wanita warga Indonesia dipenjara sembilan bulan, manakala pengurus pusat pemberian vaksin (PPV) didenda RM1,700 di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini, selepas didapati terlibat dalam penipuan identiti bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Majistret Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nela, 29, dan Chong Dee Loon, 52, yang mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. 

Mengikut pertuduhan, Nela yang merupakan warga Indonesia didapati telah memperdayakan petugas PPV Bayou Lagoon Convention Centre dengan jalan samaran menggunakan pasport individu lain bernama Siti Aisyah sehingga mendorong petugas memberikan suntikan vaksin Covid-19. 

Tindakan itu dilakukannya antara 22 Ogos 2021 pada pukul 10.08 pagi sehingga 12 September 2021 pukul 10.54 pagi di PPV Bayou Lagoon Convention Centre, Taman Saujana Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah. 

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Tertuduh juga didapati bersalah di bawah Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1953/63 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta sama atas kesalahan telah masuk dan tinggal tanpa pas yang sah. 

Dee Loon pula didapati bersalah atas pertuduhan sengaja tidak memberikan maklumat mengenai kehadiran seorang wanita yang disyaki menggunakan pasport milik individu lain bernama Siti Aisyah bagi tujuan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 kepada pegawai polis untuk tangkapan. 

Bagi kesalahan itu, dia yang merupakan ibu tunggal didakwa mengikut Seksyen 176 Kanun Keseksaan yang memeruntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali. 

Dalam prosiding sama, seorang pengurus kilang telur, Yong Yeow Ming turut didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat menipu petugas PPV berkenaan sehingga mendorong suntikan itu diberikan kepada wanita terbabit. 

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 419 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Tertuduh juga didapati telah membenarkan dua orang warga asing iaitu Helmi Rinaldi dan Nela yang merupakan imigran haram masuk ke premis Yong Yew Farm Sdn. Bhd., Bukit Beruang, pada pukul 12.30 tengah hari, 15 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 55 E Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55 E (2) akta sama. 

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan terhadap Nela bermula tarikh ditangkap iaitu 15 September dan denda RM1,700 terhadap Dee Loon. 

Beliau turut membenarkan tertuduh ketiga, Yeow Ming diikat jamin sebanyak RM5,000 dan menetapkan 10 November depan sebagai sebutan semula kes. 

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri dan peguam Kent Tan Chow Teng  mewakili Dee Loon dan Aiden Chan Chee Yuan untuk pihak Yeow Ming. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya