Tingkat kemahiran komunikasi pelajar melalui pertandingan, webinar penyiaran berita  - Utusan Malaysia

Tingkat kemahiran komunikasi pelajar melalui pertandingan, webinar penyiaran berita 

NORANYZA MOHAMAD YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Penganjuran program ‘Pertandingan dan Webinar Penyiaran Berita’ membabitkan politeknik serta kolej komuniti di seluruh negara secara dalam talian, baru-baru ini mampu meningkatkan kemahiran komunikasi dan keyakinan diri penuntut khususnya dalam bahasa Inggeris. 

Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar (BAPP), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Noranyza Mohamad Yusoff berkata, kemahiran tambahan itu sangat penting kerana pasaran kerja pada masa ini lebih dinamik serta mementingkan kualiti yang ada pada seseorang graduan untuk kekal bersaing. 

“BAPP sentiasa komited dan konsisten mendukung agenda Kementerian Pengajian Tinggi melalui Lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) iaitu untuk melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang pada masa depan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Program berkenaan secara keseluruhannya melibatkan 40 peserta iaitu masing-masing daripada 17 buah politeknik dan lapan buah kolej komuniti dengan Politeknik Seberang Perai (PSP) di sini dipilih selaku tuan rumah. 

Dibahagikan kepada beberapa peringkat, program berkonsepkan siarawan yang dimulakan dengan sesi webinar pada 6 dan 7 Oktober lalu itu turut membabitkan 25 pensyarah pengiring daripada kesemua institusi pendidikan yang mengambil bahagian. 

Dalam sesi webinar itu, peserta didedahkan dengan etika kewartawanan, teknik berhadapan dengan kamera, penyampaian berita, pengacaraan serta teknik melaporkan berita dari lokasi secara langsung. 

Program tersebut turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran beberapa pembaca berita semasa di TV3 iaitu Ezreena Amir Hamzah dan Ramzan Mohd. Saufi selain pembaca berita TV9, Zaira Sri Zakaria. 

Bagi program yang melibatkan pertandingan pula, antara aktiviti yang dinilai ialah penghasilan video pembacaan berita serta penyampaian laporan berita secara langsung. 

Johan bagi pertandingan itu menjadi milik pelajar Politeknik Kuching, Sarawak iaitu P. Laavenya manakala A. Vania Arulmathi daripada Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (Johor) dan Lok Mee Wan dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (Perlis) masing-masing dipilih sebagai pemenang tempat kedua dan ketiga. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya