“DAHULU hendak jadi artis cukup susah, banyak cabaran dan rintangan kena lalui. Sebab itu, saya kata artis hari ini beruntung, Mereka ada banyak ruang untuk tonjolkan bakat.”
Itu antara kata-kata awal penyanyi yang menempa nama selama lebih dua dekad ini. Kredibiliti serta keterampilannya sebagai anak seni serba boleh tidak perlu disangkal lagi.
Dia berjaya membuktikan kepada umum apabila bakatnya bukan sahaja menyerlah dalam bidang seni suara, malah mampu menjadi seorang pelakon disegani.
Liku-liku kehidupannya sebagai anak seni juga punya jalan cerita menarik. Menurutnya, bukan mudah untuk dia berada di tahap sekarang ini jika tanpa kesungguhan dan pengorbanan.
Bersama Khabar Legenda, penghibur dan pelakon serba boleh anak kelahiran Hulu Kelang, Selangor, Safura Ya’cob, 47, berkongsi kisah suka dukanya sepanjang menempuh pelbagai cabaran dan dugaan sebelum bergelar anak seni.
“Sejak dibangku sekolah lagi saya sudah aktif dalam setiap acara kebudayaan, antaranya teater dan nasyid. Sehinggakan pernah mewakili sekolah dan bertanding di peringkat Selangor.
“Saya tidak pernah belajar vokal atau mengambil sebarang kursus secara formal, tetapi mungkin saya mewarisi bakat turun temurun dari keluarga kerana ayah seorang imam dan emak pula seorang guru mengaji. Jika mereka mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran memang sedap dan berlagu. Jadi mungkin bakat itu tertumpah sedikit kepada saya, walaupun di jalan berbeza,” katanya tertawa.
Cita-cita menjadi penghibur sentiasa tersimpan kemas di sanubari. Namun dia tahu pastinya ada kekangan dan bantahan dari keluarga, apatah lagi ayah dan ibunya merupakan individu yang cukup disegani dan dihormati. Bukan berhasrat ingin mencalarkan nama baik mereka, tetapi sebagai gadis yang mengejar impian dan cita-cita pastinya dia punya matlamat sendiri.
Cita-cita menjadi penghibur sentiasa tersimpan kemas di sanubari. Namun dia tahu pastinya ada kekangan dan bantahan dari keluarga, apatah lagi ayah dan ibunya merupakan individu yang cukup disegani dan dihormati. Bukan berhasrat ingin mencalarkan nama baik mereka, tetapi sebagai gadis yang mengejar impian dan cita-cita pastinya dia punya matlamat sendiri.
Tidak menoleh ke belakang, berlandaskan bakat yang dimiliki dia meneruskan langkah mencari tapak permulaan. Sebaik tamat persekolahan dia mengintai peluang bergelar penghibur di kelab sekitar ibu kota walaupun mendapat tentangan hebat dari keluarga.
“Zaman remaja memang keras kepala. Manalah nak dengar cakap orang tua. Saya pujuk mereka dan minta izin. Saya beritahu bukan nak buat benda jahat, cuma nak menyanyi sahaja. Saya tak buat lebih daripada itu.
“Sudahnya mereka pun malas nak kata apa. Biasalah, mak dan ayah ini macam mana marah sekali pun tiadalah sampai mereka nak doa yang tidak baik untuk anak sendiri,” katanya.
Tidak menunggu lama, anak kelima daripada tujuh beradik ini akhirnya berjaya menempatkan diri sebagai penghibur di beberapa kelab malam dan lounge sekitar ibu kota. Walaupun apa yang diidam sudah ada dalam genggaman, namun kepuasannya belum bernoktah. Cita-citanya untuk menjadi artis rakaman masih tersimpan rapi.
Meletakkan prinsip ‘usaha tangga kejayaan’, penyanyi lagu Rinduku Semakin Kuat ini menanti dengan penuh kesabaran. Dia percaya rezeki tersebut pasti datang suatu hari nanti dan berharap ada individu yang buka mata melihat bakatnya sekali gus melamarnya untuk menjadi artis rakaman.
“Bila menyanyi di kelab malam pastinya ada yang pandang serong. Tetapi saya buat tak kisah sahaja kerana saya tahu apa yang saya buat. Ketika menyanyi di Mawar Lounge PWTC, saya masih tinggal bersama keluarga. Setiap hari pukul 5 petang saya sudah keluar rumah kerana pukul 7 malam sudah start show. Waktu itu manalah ada kereta sendiri. Pergi naik bas dan balik tumpang kenderaan salah seorang rakan anggota kumpulan yang kebetulan tinggal berdekatan.
“Setiap hari saya keluar rumah pakai baju kurung. Bila sampai di kelab baru tukar pakaian. Nanti bila nak balik pakai semula baju kurung. Begitulah rutin saya untuk cover line depan orang tua. Saya tidak mahu mereka syak dan fikir bukan-bukan. walaupun saya percaya mereka tahu perkara sebenar,” katanya tertawa.
Selamatkan diri, lari ikut pintu belakang
Menurut Pelakon Terbaik Anugerah Skrin 2006 ini, apa yang dilakukan adalah lebih kepada sifat menghormati dan menjaga maruah kedua ibu bapa. Dia tidak mahu mereka beranggapan sebaliknya kerana sudah berjanji apa yang dilakukan ketika itu adalah kerana minat.
Status sebagai penyanyi kelab juga bukanlah tiket untuknya bergaul bebas. Tidak menafikan tinggal bersama keluarga adalah penyelamat buatnya kerana mereka sentiasa memantau gerak gerinya. Malah dia sendiri akui bukan seorang yang suka bersosial.
“Ketika berusia awal 20-an, saya bertemu jodoh dengan salah seorang anggota kumpulan ketika itu. Walaupun dah berumah tangga tetapi sebagai penyanyi kelab masih banyak godaan yang dihadapi terutamanya dengan lelaki mabuk dan berhidung belang. Mereka ini tak peduli pun kita dah kahwin atau tidak, tetap nak ambil kesempatan.
“Beberapa kali juga suami bergaduh sampai bertumbuk dengan pelanggan gara-gara sikap kurang ajar mereka kepada saya. Banyak kali jugalah saya terpaksa lari selamatkan diri ikut pintu belakang,” katanya tertawa. Namun, jodohnya melayari bahtera perkahwinan bersama suaminya itu tidak kekal lama.
Ketika Safura bersama kumpulan mengadakan persembahan di Melaka, dia mendapat khabar gembira apabila ditawarkan sebagai artis rakaman oleh Allahyarham Danny Sabri yang dikenali sebagai Papa Rock Indonesia. Album pertamanya dirakam di studio di Indonesia. Selesai merakamkan empat lagu di sana, dia pulang ke Malaysia merakamkan baki selebihnya. Komposer L.Y dan Rosli Selasih ialah individu bertanggungjawab membantunya ketika itu. Lagu Sedalam Mana Cintamu berjaya mencuri hati pendengar, namanya menjadi sebutan ramai.
“Enam tahun menimba ilmu menyanyi di kelab malam, akhirnya impian nak jadi artis rakaman termakbul. Saya pernah terfikir sampai bila saya ingin berada di pentas kelab malam? Dan bila dapat peluang ini saya takkan sia-siakan. Saya berjanji pada diri sendiri apabila album ini berjaya saya akan tinggalkan dunia kelab malam,” katanya.
Ketika nama sohor di puncak, pada 1998, dia akhirnya bertemu jodoh dengan anggota kumpulan Kool, Hairie Yaacob. Sekali lagi jodohnya tidak panjang apabila berpisah buat kali kedua pada 2001, sebelum memilih Sahronizam Noor untuk melengkapkan mahligai perkahwinannya sehingga kini.
Dikurniakan lima orang cahaya mata, dia kini menjalani kehidupan bahagia.
“Biasalah dah jadi emak-emak ini memang lain sikit. Tambah pula sekarang ini mereka terpaksa belajar dari rumah secara atas talian (PdPR). Kalau di sekolah tu kita tak payah risau sangat sebab ada guru pantau, tetapi kalau di rumah ini faham-faham sahajalah.
“Mereka ini kalau cakap cikgu dengar, tapi bila cakap emak sendiri masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Kita kata lain, mereka buat lain. Sampaikan saban waktu terpaksa bergaduh dengan anak-anak di rumah,” katanya tertawa mengakhiri perbualan.