PORT DICKSON: Kebenaran pergerakan rentas negeri merancakkan kembali sektor pelancongan negara yang sebelum ini suram.
Lokasi-lokasi pelancongan kembali menerima kehadiran ramai pengunjung seperti suasana sebelum menularnya pandemik Covid-19.
Tidak terkecuali pantai-pantai peranginan di daerah ini, meskipun ia telah dibuka awal kepada kunjungan pelancong dari dalam negeri sebelum ini, kebenaran rentas negeri menjadikan ia sebagai lokasi pilihan untuk beriadah terutama pengunjung dari Lembah Klang.
Bagaimanapun, kehadiran ramai pengunjung itu turut memberi kesan dalam aspek kebersihan di kawasan pantai di sini, apabila sampah-sarap masih banyak kelihatan bertaburan tanpa diuruskan dengan baik oleh sebilangan pengunjung.
Mungkin ia sukar untuk dielakkan dalam keadaan ribuan pengunjung yang hadir namun yang jelas, apa yang berlaku ketika musim Covid-19 dengan segala norma baharu yang diamalkan masih belum cukup memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan menjaga kebersihan kawasan sekitar.
Tinjauan Utusan Malaysia sekitar pukul 7 semalam di Pantai Bagan Pinang dan Pantai Cahaya Negeri di sini mendapati, sampah sarap bertaburan di kawasan sekitar pantai.
Sisa dan bekas makanan, botol air, tin kosong minuman termasuk tin minuman keras berselerakan dan dibiar di bahu-bahu jalan, atas meja serta kerusi tanpa dibuang ke dalam tong-tong sampah disediakan.
Di Pantai Bagan Pinang, kehadiran kumpulan burung gagak yang menghurung segala sisa makanan menambah sakit mata melihat segala pencemaran yang berlaku tersebut.
Seorang pekerja pembersihan yang hanya mahu di kenali sebagai Razali berkata, dia sememangnya sudah menjangkakan jumlah sampah sarap meningkat pada minggu ini.
“Apabila rentas negeri dibenarkan memang sudah dijangka jadi begini, ia situasi sama pada waktu hujung minggu dan cuti umum seperti sebelum pandemik.
“Hari ini memang banyak kelihatan sampah yang perlu dibersih dan dikutip, mungkin mengambil masa sehingga empat ke lima jam,” katanya yang memberitahu pekerja-pekerja pembersihan bertugas seawal pukul 5 pagi bagi mengutip sampah sarap ditinggalkan pengunjung di beberapa kawasan pantai di daerah ini. – UTUSAN ONLINE