Tiga lagi daerah di Sabah diisytihar kawasan wabak ASF - Utusan Malaysia

Tiga lagi daerah di Sabah diisytihar kawasan wabak ASF

JEFFREY KITINGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah mengisytiharkan daerah Kota Kinabalu , Papar dan Tenom sebagai daerah terbaharu dilanda wabak demam babi afrika (ASF).

Dengan itu, 22 daerah di Sabah diisytiharkan sebagai kawasan wabak ASF pada tahun ini selepas 19 daerah mula diisytiharkan berlaku penularan wabak ASF pada awal tahun.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, walaupun bagaimanapun, kes yang dilaporkan di tiga daerah terbaru itu agak terpencil.

Jangkitan mula dikesan di Papar pada 14 September lalu diikuti pada 30 September di Kota Kinabalu dan Tenom pada 13 Oktober.

“Namun, hanya daerah Papar sahaja melaporkan jangkitan yang tinggi dengan 91 ekor babi peliharaan terjejas di Kampung Kogopon dan Kampung Purak bagi tempoh dua minggu. Ia mengakibatkan kerugian sebanyak RM50,000.

“Setakat ini, wabak tersebut hanya menjangkiti babi peliharaan dan tidak menjangiti babi ternakan komersial. Babi ternakan komersial di Papar mempunyai kira-kira 9,400 ekor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pada masa ini, kementerian belum mempertimbangkan untuk melupuskan semua babi di ketiga-tiga daerah ini. Kes masih lagi terpencil dan babi ternakan pula disahkan bebas daripada wabak ASF berdasarkan beberapa ujian yang dijalankan.

Justeru, kementerian yakin bekalan daging babi di pasaran tempatan tidak akan terjejas pada masa ini.

Sebagai langkah mengelakkan penularan wabak, kementerian akan mengawal pergerakan keluar babi dan produk babi antara daerah-daerah terlibat, meningkatkan kempen kesedaran dalam kalangan penduduk kampung di kawasan terlibat serta memantau aktiviti di ladang bagi daerah-daerah terjejas.

Awal tahun ini, langkah kawalan yang sama turut dilakukan di 19 daerah yang diisytiharkan kawasan wabak ASF dan usaha itu ternyata berkesan apabila tujuh daerah mula diklasifikasikan sebagai zon merah dan zon kuning selepas tiada kes baharu wabak ASF dilaporkan dalam tempoh 60 hari.

Tujuh daerah itu adalah Pitas, Kota Marudu, Beluran, Telupid, Tongod, Kinabatangan dan Sandakan.

Jelas beliau, kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan terus memantau situasi wabak ASF di negeri ini dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan produk berasaskan babi mencukupi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya