Tidak galak bermalam di kawasan pantai Port Dickson - Utusan Malaysia

Tidak galak bermalam di kawasan pantai Port Dickson

PENGUNJUNG berkelah dan beriadah bersama keluarga di kawasan Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) tidak menggalakkan mana-mana individu atau yang bersama keluarga untuk menjalankan aktiviti berkhemah dan bermalam di kawasan pantai di daerah ini.

Yang Dipertua MPPD, Zamri Mohd. Esa berkata, ia bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku termasuk kejadian kecurian dan gangguan seksual.

“Saya hendak memaklumkan apabila mereka yang mahu berkhemah dan bermalam, pihak MPPD hanya akan membuat pemantauan sehingga pukul 12 tengah malam terutama di pantai-pantai awam yang menjadi tumpuan pelancong.

“Kami tidak menggalakkan mereka bermalam bagaimanapun kami tidak menghalang, sekiranya mereka masih mahu bermalam diharap dapat memaklumkan kepada pihak berkuasa dan polis terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Cabaran Kayuhan Negeri Sembilan Bersih sempena Hari Sukan Negara di Pantai Cahaya Negeri, di sini hari ini.

Sementara itu, Zamri berkata, daerah ini mula menerima kehadiran pengunjung sejak Jumaat lalu terutama dalam kalangan pelancong dari Lembah Klang.

“Selepas kebenaran merentas negeri diberikan, kebanyakan pengunjung mengambil kesempatan bercuti di daerah Port Dickson memandangkan daerah ini berdekatan dengan Lembah Klang dan Putrajaya.

“Bagaimanapun kami tahu ada juga individu yang tidak mencukupi dua dos vaksin Covid-19 turut berada di pantai-pantai atau kawasan tumpuan orang ramai. Kami tidak menggalakkan mereka untuk ke lokasi tumpuan, jika mereka tertangkap oleh penguat kuasa mereka akan dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.

Jelasnya, seramai 70 orang penguat kuasa MPPD akan ditempatkan di beberapa lokasi tumpuan seperti pantai dan restoran.

“Semua penguat kuasa MPPD akan dibahagikan kepada dua syif dan mereka akan ditempatkan di beberapa lokasi tumpuan.

“Bagaimanapun, kami tidak dapat memantau semua lokasi dan berharap semua pelancong dapat menjaga prosedur operasi standard (SOP) sepanjang mereka bercuti di sini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya