PASIR PUTEH: Kelantan tidak berdepan dengan masalah tempat pelupusan sampah haram walaupun menjadi antara tujuh negeri yang tidak memperakui Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, pengurusan terhadap pusat pelupusan sisa pepejal di negeri ini juga efektif dan mampu ditangani dengan baik.
“Berdasarkan rekod, tiada pusat pelupusan sampah haram dikesan setakat ini di seluruh Kelantan. Pengurusan pusat pelupusan sisa pepejal ini adalah bawah bidang tugas PBT yang dipengerusikan oleh Exco kerajaan negeri.
“Namun begitu, saya difahamkan perbincangan dengan kerajaan Persekutuan berhubung akta itu masih diteruskan,” katanya dalam sidang akhbar selepas sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Kelantan di Taman Rekreasi Bukit Gedombak, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP), Ahmad Adlee Yasin dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan, Wandi Yadzid Yaakob.
Laporan muka depan akhbar ini Selasa lalu melaporkan Kelantan antara tujuh negeri yang tidak memperakui Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, sekali gus menjadikan tapak pelupusan haram terus wujud di negeri-negeri tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Zain Hassan berkata, lambakan pusat pelupusan haram menyebabkan penguatkuasaan PBT tidak efektif sehingga penyumbang kepada peningkatan pencemaran alam sekitar.
Mengulas lanjut Tuan Mohd. Saripudin berkata, kerajaan Kelantan tidak menolak Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 secara total, namun terdapat bahagian tertentu dalam akta tersebut masih dalam perbincangan.
“Jawatankuasa Alam Sekitar negeri akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dalam menangani isu-isu berkaitan pelupusan sisa pepejal termasuk memastikan tidak berlaku pembakaran di pusat pelupusan sampah.
Dalam perkembangan berkaitan, Tuan Mohd. Saripudin berkata, masyarakat diseru memberi kerjasama menjaga alam sekitar dengan memanfaatkan tong sampah dan perkhidmatan mengangkut sampah yang digerakkan oleh PBT masing-masing.
Katanya, kerajaan bersedia menambah peruntukan berkaitan kebersihan untuk memastikan kawasan seliaan setiap PBT diuruskan dengan baik.
“Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut diminta mengambil tindakan segera menghubungi pengurusan PBT sekiranya menerima aduan rakyat berkaitan isu lambakan sampah di kawasan masing-masing,” katanya. – UTUSAN