PETALING JAYA: Pelakon terkenal, Zainol Macwilson menggamit kembali memori pekerjaan yang pernah dilakukannya ketika menetap di Australia, sebelum ini.
Menurut Zainol, dia pernah bertugas sebagai pengawal keselamatan ketika tinggal di Perth, Australia.
Jelas pelakon itu, pengawal keselamatan di negara itu tidak menggelarkan pekerjaan tersebut sebagai pengawal keselamatan, tetapi ia disebut pegawai keselamatan.
Menerusi entri Instagram, Zainol memuat naik beberapa hantaran gambar yang memaparkan dirinya segak mengenakan uniform lengkap sebagai pengawal keselamatan di negara itu.
“Bila saya melihat pengawal keselamatan di Malaysia, teringat kembali zaman saya bertugas sebagai pengawal keselamatan di Perth.
“Di sana, mereka tidak sebut ‘Security Guard’, tetapi mereka menyebut ‘Security Officer’! pakaiannya pun kemas.
“Malah, peralatan yang disediakan ketika bertugas antaranya adalah cota besi, gari, cecair pemedih mata, serta kad kuasa. Gaji pun baik,” kongsinya di Instagram.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata warganet meninggalkan pelbagai reaksi mereka di ruangan komen hantaran tersebut.