KUALA LUMPUR: Pelakon, Ieda Moin mendedahkan dia sudah membuat laporan polis di Balai Polis Pudu Daerah Wangsa Maju selepas menerima kiriman gambar lucah daripada seorang pengguna media sosial, petang semalam.
Menerusi perkongsian laporan polis yang dimuat naik oleh pelakon itu, individu berkenaan turut menangkap layar gambar diri dan anak-anaknya.
“Ini bukan kali pertama individu tidak dikenali tersebut telah menghantar gambar serta video tidak senonoh.
“Sebelum ini saya telah menyekat lebih kurang lima akaun yang digunakan oleh individu tersebut.
“Namun individu sama akan membuat akaun baharu untuk mengganggu saya dengan menghantar video dan gambar-gambar lucah,” ujar Ieda di Instagram miliknya.
Menjengah ruangan perkongsian hantaran, seorang pengguna melayangkan pesanan agar Ieda terus berhati-hati.
“Ya Allah apa hal orang ini, gila. Adik jaga diri ya,” komen salah seorang pengguna di IG.