KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) menganggap isu kegagalan pemain pertahanannya, Shahrul Nizam Ros Hasni melapor diri bersama skuad kebangsaan, Jumaat lalu sudah selesai dan enggan memanjangkan perkara tersebut.
Menurut sumber, pihak pengurusan pasukan sudah berhubung dengan pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe di samping kepemimpinan tertinggi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Apa yang berlaku adalah salah faham dan kita sudah menjelaskan perkara sebenar kepada FAM, jadi kalau boleh isu ini tidak perlu dipanjangkan lagi.
“TFC sangat berharap situasi ini difahami dan kita tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana tindakan itu hanya akan merugikan pemain serta pasukan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Shahrul menjadi topik pemerhati bola sepak tempatan selepas gagal hadir ke kem latihan pusat skuad negara untuk menghadapi dua aksi pemanas badan bertemu Jordan dan Uzbekistan.
Pemain itu merupakan antara tiga yang disenaraikan Cheng Hoe Khamis lepas bagi menggantikan Dion Cools, Muhammad Syahmi Safari (Selangor) dan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Akhyar Rashid, akibat kecederaan.
Dalam pada itu, sumber berkata, TFC tidak mahu isu berkenaan menjejaskan tumpuan skuad kendalian Nafuzi Zain yang akan kembali menjalani latihan bermula semalam.