Temui ajal disambar petir, abang ipar mampu ucap kalimah syahadah - Utusan Malaysia

Temui ajal disambar petir, abang ipar mampu ucap kalimah syahadah

MUHAMMAD ALIF HAIKAL LUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Seorang remaja maut manakala abang iparnya cedera disambar petir ketika mahu menghantar makanan kepada pekerja di sebuah kuari di Kampung Jerus, Selising, di sini petang ini.

Dalam kejadian pukul 5.40 petang, panahan petir tersebut menyebabkan mangsa, Muhammad Alif Haikal Ludin, 15, yang ketika itu mahu menutup bahagian belakang sebuah lori tercampak ke atas tanah dan tidak sedarkan diri.

Sementara itu, abang iparnya dikenali sebagai Mat Yi, 20-an, yang juga pemandu lori berkenaan turut terpelanting tidak jauh dari mangsa namun masih sedar serta dikatakan mampu bercakap dengan saksi kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintenden Mohd. Azmir Damiri ketika mengesahkan kejadian itu berkata, kedua-dua mangsa segera dibawa ke Klinik Kesihatan Mahligai di Melor.

“Namun Muhammad Alif Haikal disahkan meninggal dunia. Berdasarkan maklumat, mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian.

“Seorang lagi mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut dan keadaannya setakat ini dilaporkan stabil.” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pekerja kuari yang menyaksikan kejadian tersebut berkata, selepas mereka berdua dipanah petir, salah seorang daripada mangsa iaitu Mat Yi masih sedar dan boleh bercakap.

“Walaupun dalam keadaan lemah, dia masih mampu mengucapkan kalimah syahadah, namun seorang lagi pula terbaring tidak sedarkan diri,” katanya.

Difahamkan, mangsa berasal dari Kampung Hutan Buluh, Melor, Kota Bharu datang ke situ dengan menaiki lori dipandu abang iparnya yang juga rakan sekerja untuk menghantar air dan nasi kepada pekerja kuari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN