PORT DICKSON: Bukan hanya hotel, inap-inap desa di Negeri Sembilan juga mula menerima tempahan tinggi sebaik sahaja pergerakan rentas negeri kembali dibenarkan.
Setiausaha Persatuan Kampungstay dan Homestay Negeri Sembilan, Mistam Taib berkata, sebanyak tujuh inap desa di negeri ini yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya turut menerima sambutan luar biasa sejak hujung minggu lalu.
“Alhamdulillah sudah banyak permintaan dan telefon saya juga tidak henti-henti menerima panggilan yang bertanyakan tentang inap desa di negeri ini.
“Ada separuh daripada tetamu memang sudah menempah lebih awal jadi, apabila sektor pelancongan mula dibuka, kami memberi peluang kepada mereka yang sudah tempah dahulu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Homestay D’ Pelan-dok Best di sini semalam.
Sementara itu, menurut Mistam, sebelum ini terdapat 13 inap desa namun kini hanya tujuh sahaja yang masih aktif susulan pandemik Covid-19.
“Kebanyakan mereka (pengusaha) sudah tidak aktif disebabkan ada pengusaha yang sudah berusia dan tiada waris. Jika mengikut syarat, sekurang-kiranya memerlukan 10 pengusaha inap desa dalam sesebuah kampung,” katanya.
Antara tujuh inap desa yang masih aktif di negeri ini adalah Homestay D’pelandok Best, Homestay Pachitan, Homestay Pelegong, Homestay Rawa, Homestay Klawang,Jelebu, Homestay Sungai Buluh dan Homestay Lonek, Jempol.
Sementara itu, jelasnya, kewujudan inap desa ini bukan sahaja sebagai penyedia penginapan namun juga salah satu usaha memelihara aspek kebudayaan.
“Kami bukan sahaja sebagai penyedia penginapan kepada pelancong namun turut memperkenalkan kepada mereka tentang kebudayaan yang ada di kampung kami.
“Contohnya di Homestay D’ Pelandok Best di Teluk Pelandok ini ada sedikit budaya masyarakat Jawa selain pelancong juga didedahkan dengan aktiviti-aktiviti penduduk setempat,” katanya.
Dalam pada itu, dia turun menyeru mana-mana pengusaha inap desa yang tidak aktif agar kembali semula melibatkan diri memandangkan sektor pelancongan kini kembali rancak.-UTUSAN ONLINE