TAPAUfest: 14 jam bertemasya! - Utusan Malaysia

TAPAUfest: 14 jam bertemasya!

Fleur! dan Zee Avi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA sudah merasai pelbagai pengalaman menikmati gig secara dalam talian sepanjang dua tahun menempuh pandemik. Namun, saya sangat yakin, pengalaman menikmati TAPAUfest tidak akan sama.
Berlangsung selama 14 jam pada 30 Oktober ini, TAPAUfest menjanjikan pengalaman temasya yang menyeluruh. Bukan sekadar menikmati muzik, anda akan disedut masuk dalam dunia maya dengan pelbagai pengisian dan aktiviti menarik.

Bagi yang sudah biasa menghadiri acara ini, pasti tahu apa yang TAPAUfest tawarkan dalam bentuk fizikal. Namun, cabarannya berbeza kali ini kerana penganjurannya secara dalam talian. Kita tidak hadir secara fizikal, jadi masihkah boleh menikmati segala pengalaman TAPAUfest?
Saya yakin boleh.

Penyatuan maya
Nikola Tesla pernah menggambarkan dunia internet sebagai sebuah otak gedang tempat manusia berkomunikasi walaupun berjauhan. Ramalan ini dibuat pada 1926.

Ia telah dicapai pada 2021 ini tetapi persoalan yang lebih penting, bagaimana kita mahu memanfaatkan potensi infiniti dunia maya ini? TAPAUfest ada jawapannya.

Bayangkan sebuah temasya selama 14 jam, yang mana semua pembeli tiket akan merasai pengalaman sama. Memegang buku yang sama, menyelesaikan silang kata yang sama dan menonton persembahan yang sama. Lebih manis lagi, semuanya berkomunikasi dalam ruang bual yang sama dan mendapat reaksi langsung dari juruacara serta artis pada masa sama.

Pek Seronok
Tiket TAPAUfest dijual dalam empat tahap berbeza. Kombo Asas memberikan akses strim langsung dan video atas permintaan (VOD). Kombo Gerek ditambah Pek Seronok (fun pack). Pembeli Kombo Keren pula turut mendapat baju eksklusif TAPAUfest dan Kombo Sempoi datang bersama seluar tidur eksklusif TAPAUfest.

Pek Seronok akan datang bersama zine yang menampilkan artikel, panduan penuh untuk temasya, ruangan mewarna dan silang kata. Selain itu, pembeli kombo Gerek ke atas juga akan menerima daun terup atau kad tepuk yang direka khas oleh kolektif seni, GrimmyGranny.

Dengan Pek Seronok, pembeli akan menikmati 14 jam TAPAUfest dengan aktiviti-aktiviti. Segalanya boleh dikongsi di media sosial, menjadikan pengalaman penonton boleh dikongsi bersama penonton lain. Malah, anda juga berpeluang memenangi PlayStation 5 dengan pek ini.

Tempoh 14 jam siaran itu juga tidak akan kosong kerana selain persembahan, TAPAUfest turut menampilkan tiga bengkel menarik. Ada bengkel memasak sarapan bersama Bagus Gogon dari Indonesia, bengkel seni bersama Huruf Boob dari Singapura dan bengkel teknik jeritan (scream) dan deraman (growl) dari Bear, anggota kugiran Defoulters dari Malaysia.

Bakat tiga negara
Barisan artis yang mengisi pentas TAPAUfest sejak dahulu bukan sekadar persembahan muzik. Ia sebuah panduan untuk kita meneroka bakat muzik. Kali ini, kurasi TAPAUfest lebih menarik kerana kita bukan hanya dapat meneroka bakat muzik independen tempatan, malah melibatkan Indonesia dan Singapura juga.

Menampilkan 10 artis, inilah masanya untuk kita menggali karya muzik dua negara jiran ini. Malaysia akan diwakili Plague of Happiness, Zee Avi, No Good dan Gard Wuzgut. Dari Indonesia, penonton akan disajikan persembahan Fleur!, The Panturas dan Sore. Terakhir, dari Singapura ada Subsonic Eye; Force Vomit yang kembali dari pertapaan tiga tahun dan yang paling saya nantikan, Forests.

Janji TAPAUfest, persembahan itu nanti bukan prarakam sebaliknya disiarkan secara langsung dan interaktif, kerana para peminat boleh sahaja berkomunikasi dengan mereka melalui ruang bual secara langsung.

Buat yang belum membeli tiket, masih ada masa untuk anda berbuat demikian. Betul, gig fizikal sudah kembali dan mungkin, gig dalam talian tidak lagi menjadi pilihan. Namun, saya secara peribadi mahu menutup fasa pandemik ini dengan pengalaman gig dalam talian yang luar biasa.

Dalam fasa endemik nanti, saya mahu kenang pertarungan kita dengan pandemik dan gig dalam talianlah kenangannya. Saya belum dapat kenangan itu dari gig dalam talian yang lain sebelum ini.
Maka, kepada TAPAUfest saya berserah untuk memberikan saya modal cerita kepada anak cucu kelak, “Atok masa Covid dulu pernah layan TAPAUfest maya, seronok dia lain macam”.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya