BAGAN DATUK: Hampir terbengkalai disebabkan tiada pelancong semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19, pemilik taman bunga matahari di Sungai Buluh di sini kini menarik nafas lega apabila menerima kehadiran semula pelancong.
Pemilik taman bunga itu, Heng Lai Hen, 49, berkata, kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat untuk rentas daerah, sedikit sebanyak membantunya menghidupkan semula perniagaannya.
Katanya, sebelum ini taman bunga yang diusahakannya menjadi tumpuan orang ramai dari dalam dan luar negeri Perak untuk menikmati keindahan pemandangan di taman yang dipenuhi bunga matahari.
“Namun, disebabkan PKP, tidak ada pelancong yang datang sehingga saya hampir-hampir berputus asa untuk terus menanam bunga di taman ini.
“Saya kembali lega apabila orang ramai dibenarkan rentas daerah baru-baru dan taman ini mula menerima kedatangan pelancong secara perlahan-lahan.
“Ibarat matahari yang kembali bersinar, saya juga mengharapkan taman ini kembali ceria dengan kehadiran pelancong setelah prosedur operasi standard (SOP) PKP dilonggarkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Menurutnya, tarikan utama ke taman itu sudah pasti pemandangan menarik bunga matahari yang berwarna kekuningan yang ditanam lebih 1,000 pokok.
Katanya, apatah lagi ketika ini bunga yang ditanamnya sudah mengembang, yang menambahkan lagi kecantikan pemandangan di taman itu.
“Kebanyakan pengunjung yang datang terdiri daripada mereka yang sudah berkeluarga yang membawa anak-anak mereka bergambar di sini.
“Selain itu, pasangan pengantin baharu juga menjadikan taman ini sebagai destinasi pilihan untuk mereka bergambar, mengabadikan hari perkahwinan mereka di sini.
“Saya gembira dapat melihat wajah-wajah ceria yang datang ke sini sambil bergambar, inilah kepuasan sebenar yang saya dapat hasil daripada mengusahakan taman bunga matahari ini,” katanya.
Menurutnya, dia merupakan seorang penggemar bunga matahari yang tertarik dengan kecantikan bentuk dan warna bunga itu.
“Pernah juga ke Thailand untuk melihat bunga matahari yang ditanam di taman di negara itu, namun sekarang saya tidak perlu lagi ke sana untuk melihat bunga ini kerana di sini sudah ada, malah saya sendiri yang menanamnya,” katanya.
Dalam pada itu, sepasang pengantin baharu dari Hutan Melintang di sini merupakan antara pengunjung terawal taman bunga itu sebaik sahaja memulakan operasi baru-baru ini.
Lai Hen berkata, dia tidak sangka pasangan pengantin baharu menjadi pengunjung pertama taman itu.
“Kami amat gembira menerima kedatangan pengunjung seperti ini, mereka pengantin baharu yang akan memulakan hidup baharu, semoga ini rezeki permulaan yang baik buat perniagaan kami,” katanya.
Pengunjung dikenakan bayaran masuk RM13 bagi dewasa, RM10 bagi kanak-kanak berumur tujuh hingga 11 tahun dan RM5 kanak-kanak tiga hingga enam tahun.
Sementara itu, sepasang pengantin baharu yang memilih taman bunga itu sebagai tempat untuk bergambar pada hari perkahwinan mereka berkata, mereka tertarik dengan keindahan pemandangan bunga di taman itu.
Mereka yang enggan namanya disiarkan berkata, memang perancangan awal mereka untuk bergambar di taman itu sebaik sahaja melangsungkan pernikahan.
“Taman ini memberikan ketenangan kepada kami, bunga matahari banyak yang sudah berkembang, terlalu cantik warnanya, pemandangan di sini amat indah,” katanya.-UTUSAN ONLINE