Syarat lengkap vaksin: SPR langgar Perlembagaan Persekutuan  - Utusan Malaysia

Syarat lengkap vaksin: SPR langgar Perlembagaan Persekutuan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hanya individu mendapat dua dos lengkap vaksin Covid-19 boleh mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, 20 November ini melanggar prinsip Perlembagaan Persekutuan. 

Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, ketetapan itu secara jelas mencabuli perkara 119 (1) dibaca bersama perkara 119 (3) Perlembagaan. 

Katanya, kerajaan perlu meminda bahagian tertentu di dalam Perlembagaan bagi tujuan menambah syarat-syarat baharu mengenai larangan atau hilang kelayakan mengundi bagi pemilih. 

“Hal ini kerana syarat mengundi cuma boleh dihadkan di dalam Perlembagaan dan bukannya oleh SPR berhubung isu vaksinasi. Jika tempoh mengundi dilanjutkan antara tiga hingga lima hari, maka hari-hari tertentu boleh dikhususkan untuk rakyat Melaka yang belum divaksin penuh untuk mengundi. 

“SPR jangan menyalahi Perlembagaan, jangan bersikap dangkal dan tidak profesional dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diletakkan di atas bahu SPR selaras di dalam Perlembagaan. 

“SPR tidak boleh sewenang-wenangnya mengenakan syarat seperti ini yang tidak berdemokrasi dan menidakkan hak pengundi,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini. 

MOHAMED HANIFF KHATRI ABDULLA

Perkara 119 (1) Perlembagaan memperuntukkan, warganegara ini yang telah mencapai umur 18 tahun pada tarikh kelayakan, bermastautin di dalam sesuatu bahagian pilihan raya, didaftarkan sebagai pemilih berhak mengundi dalam pilihan raya. 

Hal itu melainkan jika individu berkenaan hilang kelayakan jika ditahan sebagai orang yang tidak sempurna akal, menjalani hukuman penjara atau disabitkan atas suatu kesalahan melebihi 12 bulan sebelum dan pada tarikh kelayakan seperti diperuntukkan Perkara 119 (3) Perlembagaan. 

SPR hari ini menetapkan 20 November ini sebagai tarikh pilihan raya negeri manakala hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 18 November. 

Bagaimanapun, SPR mensyaratkan pengundi pilihan raya negeri adalah lengkap vaksin Covid-19 iaitu 14 hari selepas dos kedua untuk vaksin jenis dua dos dan 28 hari selepas dos vaksin jenis satu dos.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali (UMNO) tumbang ekoran tidak lagi mendapat kepercayaan empat wakil rakyatnya. 

Wakil rakyat berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor); Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas). – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya