Suri rumah didenda RM5,000 sebar berita palsu - Utusan Malaysia

Suri rumah didenda RM5,000 sebar berita palsu

NOR SAKINAH RAZELAN dibawa keluar dari mahkamah selepas dikenakan hukuman denda menyebarkan berita palsu di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis, hari ini. - UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Seorang suri rumah didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah menyebarkan berita palsu berkaitan Covid-19 menggunakan aplikasi WhatsApp sehingga mendatangkan kebimbangan kepada orang awam di Kampung Belukar, Arau, pada 18 April lalu.

Tertuduh, Nor Sakinah Razelan, 31, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Musyiri Peet.

Mengikut kertas pertuduhan, ibu kepada tiga orang anak itu didakwa memuat naik status yang merupakan berita palsu di aplikasi WhatsApp menggunakan nombor telefon yang didaftarkan atas namanya dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada pukul 10.31 pagi di Kampung Belukar, Arau pada 18 April lalu.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya negeri, Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Hapiz Rajali.

Terdahulu, Mohd Nordin memohon denda yang setimpal dikenakan terhadap tertuduh bagi memberi pengajaran untuk tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita tidak benar.

Bagaimanapun, Mohd Hapiz merayu agar anak guamnya itu diberi denda pada kadar minimum memandangkan tertuduh adalah suri rumah dan anak keduanya yang berumur tujuh tahun pula menghidap sakit buah pinggang.

Selain itu, suami tertuduh pula hanya bekerja sebagai buruh.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Musyiri menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 atau penjara lima bulan jika gagal membuat pembayaran.

Tertuduh membuat pembayaran tersebut dan dibebaskan.

Pada 20 April lalu, akhbar ini melaporkan Jabatan Pendidikan negeri membuat laporan polis berhubung dakwaan yang tular dalam media sosial mengenai terdapat sembilan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Nangka, Arau positif Covid-19.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu telah menyebabkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa sehingga mengakibatkan jumlah kehadiran pelajar ke sekolah itu dan kawasan sekitarnya merosot. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN