IPOH: Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini, hari ini.
Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa yang juga Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak.
Berangkat sama Raja Di-Hilir, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah bacaan ayat suci al- Quran selawat dan solat Isyak berjemaah.
Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan Anugerah Pengamal Media kepada wartawan Astro Awani dan Suara Perak, Abd. Razak Mohd. Ali, 58, manakala Anugerah Pendakwah pula diberikan kepada Muhammad Misyaqirin Thien Abdullah.
Masing-masing dikurniakan RM3,000, plak dan sijil penghargaan.
Anugerah Keluarga Mithali dianugerahkan kepada Pengerusi Pelawat Hospital Changkat Melintang, Bota Datuk Abd. Rasid Nopiah.
Beliau dikurniakan RM5,000, plak dan sijil penghargaan. – UTUSAN ONLINE