Sultan Kedah seru rakyat patuh PPN - Utusan Malaysia

Sultan Kedah seru rakyat patuh PPN

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah menyampaikan titah secara dalam talian sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah di Alor Setar, Kedah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR:  Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menitahkan rakyat negeri ini sentiasa mematuhi Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Baginda bertitah, langkah itu adalah strategi untuk peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik COvid-19.

Tindakan itu juga, titah baginda, mampu mengukuhkan perpaduan serta membudayakan nilai-nilai murni selaras dengan akhlak terpuji Nabi Muhammad SAW.

“Sesungguhnya setiap perkara diajarkan Nabi Muhammad kekal relevan pada setiap zaman dan keadaan. Misalnya ketika Covid-19 merebak ke seluruh dunia, terdapat kaedah pencegahan untuk menangani penularan wabak ini telah dinyatakan dalam hadis.

“Pakar-pakar berautoriti telah menyarankan kaedah pencegahan yang selari dengan ajaran Rasulullah iaitu pencegahan penyakit melalui udara, titisan air dan sentuhan.

“Amalan kuarantin juga merupakan adaptasi daripada hadis riwayat Al-Bukhari yang bermaksud, jika kamu mendengar penyakit taun melanda sesuatu kawasan, janganlah kamu masuk ke kawasan tersebut dan jika kamu berada di kawasan itu, janganlah kamu keluar dari situ,” titah Sultan Sallehuddin.

Baginda bertitah demikian secara dalam talian bersempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.

Sambutan tersebut bertemakan ‘Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti’.

Sultan Sallehuddin dalam masa sama turut menyeru semua lapisan masyarakat untuk menghayati dan mengamalkan sirah kelahiran, Nabi Muhammad SAW dengan membudayakan sunnah-sunnah Baginda dalam kehidupan.

“Mengamalkan amalan sunnah akan mendatangkan kesempurnaan dalam hidup kerana sunnah bersifat komprehensif, memiliki keseimbangan dan bersifat realiti.

“Orang yang sentiasa memerhati dan menekuni kehidupan Nabi Muhammad serta sirah Baginda, akan sentiasa terpandu ke arah kebaikan dan kesempurnaan kehidupan,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya