Poklip tak tahu bagaimana hendak menulis tentang isu satu ini. Bukan apa, takut terasa dan mula sesi serang menyerang dalam media sosial. Yalah, kadang-kadang orang ini bermacam-macam perangai. Tak boleh disentuh langsung tau.
Cuma Poklip berjumpa dengan rakan industri yang ‘mengomel’ tentang seorang artis ini. Dia tidak berkenan dengan perangai suka mengungkit artis itu. Ada sahaja drama dan cerita yang diungkit oleh artis itu demi mendapatkan perhatian umum.
Poklip pun perasan juga. Tetapi perangai itu sudah menjadi kebiasaan bagi sesiapa yang mengikuti media sosial artis tersebut. Dia selalu membuka cerita dahulu kala dan secara tidak langsung, pengikut juga mula mengecam dan mengkritik.
Yalah, macam tak boleh move on daripada kisah lalu. Ada sahaja cerita baharu dikongsi. Sampai ada yang mula mengadu muak dengan ‘permainan’ artis itu. Kalau sekali dua kita terima. Ini saban bulan ada sahaja perkongsian.
Secara peribadi, bagi Poklip lantak dialah. Itu akaun media sosial dia. Siapa kita hendak menafikan haknya untuk memuat naik perkongsian tersebut. Tetapi sebagai figura awam, dia mungkin perlu berfikir dua tiga kali sebelum memuat naik sesuatu.
Kadang-kadang perkongsian yang mungkin bagi kita tiada apa-apa tetapi untuk orang lain, itu cukup mengguris hati. Mungkin bagi kita biasa-biasa tetapi orang lain fikir, sudah-sudahlah. Masing-masing sudah ada kehidupan sendiri kan.
Poklip mudah sahaja. Kalau rasa menyampah dengan seseorang, boleh berhenti mengikuti media sosialnya. Tak perlu kita menambah dosa dengan mengecam dan menghina. Lagipun, kalau rasa perkara itu toksik, takkan kita nak terus berenang bersama.
Eh, banyak lagi kerja kita nak buat. Daripada sibuk memikirkan kenapa dia asyik meroyan, lebih baik fikir negara mana yang boleh dilawati selepas larangan rentas negara dihapuskan. Lagipun ramai sudah dua dos vaksin kan? Yak Yak Yay lah kita!