Suami isteri mengaku tidak bersalah tipu urusan jual beli emas - Utusan Malaysia

Suami isteri mengaku tidak bersalah tipu urusan jual beli emas

MUZI Musa (tiga dari kiri) dan isterinya, Nining Febriani Lubis (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah atas kesalahan menipu jual beli emas membabitkan kerugian sehingga lebih RM20,000. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 22 pertuduhan menipu dalam urusan jual beli emas membabitkan kerugian sebanyak RM25,812.05 antara Februari hingga Mac lalu.

Tertuduh, Muzi Musa, 51, warga tempatan dan isterinya, Nining Febriani Lubis, 41, seorang warganegara Indonesia membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Mengikut kesemua pertuduhan, kedua-dua tertuduh telah bersama-sama menipu seorang wanita untuk membuat urusan jual beli barang kemas.

Mereka dengan curangnya mendorong wanita berkenaan memasukkan sejumlah RM25,812.05 ke dalam akaun milik Muzi mengikut tarikh dan masa yang berlainan yang mana mangsa tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Lorong Patin, Taman Sungai Gemas, Tampin, di antara tarikh 16 Februari hingga 28 Mac lalu.

Sehubungan itu, kedua-duanya telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat serta dikenakan denda.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Baharuddin Mohd. Kassim.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 setiap seorang bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Hakim turut mengarahkan tertuduh wanita menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan bagi tertuduh lelaki pula perlu melaporkan diri sekali sebulan di balai polis terdekat.

Sekiranya gagal menjelaskan wang jaminan, tertuduh akan dipenjara sehingga sebutan semula kes berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri yang menjalankan urusan jual beli barang kemas, memperdaya kira-kira enam orang mangsa di sekitar negara ini dan telah ditangkap polis di sebuah stesen minyak di Sungai Petani, Kedah pada 17 Jun lalu.

Difahamkan, pasangan suami isteri berkenaan melakukan penipuan jual beli barang kemas secara dalam talian dan bersemuka membabitkan jumlah kerugian kepada mangsa melebihi RM200,000 dan kemudian menghilangkan diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN