Suami isteri mengaku tidak bersalah dera dua beradik - Utusan Malaysia

Suami isteri mengaku tidak bersalah dera dua beradik

KEDUA-dua tertuduh, R. Kartik (baju biru kiri) dan isterinya, B. Darga Devi (baju biru kanan) dibawa ke mahkamah atas tuduhan mendera dua beradik di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru. UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan kerana melakukan penderaan terhadap dua kanak-kanak lelaki yang berada di bawah jagaan mereka, tahun ini.

Kedua-dua tertuduh, R. Kartik, 32, dan isteri, B. Darga Devi, 24, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob.

Berdasarkan pertuduhan pertama, pasangan itu bersama dua lagi individu yang telah dituduh didakwa mendera kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dengan memukul menggunakan rotan, penyangkut baju dan batang mop; meletakkan pisau panas ke tangan; mencucuh rokok di seluruh badan dan menghantuk kepala ke dinding sehingga mendatangkan trauma dan kecederaan.

Dalam pertuduhan kedua, mereka sekali lagi bersama-sama dua individu itu didakwa mendera kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun dengan cara sama selain turut mencucuh puntung rokok di kemaluan dan menyiram air panas ke seluruh badan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 8 malam hingga 1 pagi antara Jun hingga September lalu di Flat Selesa Jaya, Bandar Selesa Jaya, Iskandar Puteri.

Atas pertuduhan itu, kedua-dua didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew dalam prosidingnya tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh atas alasan perbuatan itu bersifat ganas dan kejam, selain turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan mangsa sekiranya didekati tertuduh.

“Kes ini juga telah dilaporkan dalam media dan mendapat perhatian umum, selain itu kedua-dua tertuduh juga telah melarikan diri selepas polis menahan ibu dan kakak Kartik,” katanya.

Peguam tertuduh, Munirah Najihah Shaari bagaimanapun memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan dalam jumlah yang rendah khususnya kepada Darga Devi kerana mempunyai tanggungan tiga anak kecil berusia 3 dan 2 tahun serta bayi sembilan bulan.

Kartik yang menjadi penanggung utama keluarga tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya mengambil upah memasak.

Mahkamah kemudian menetapkan Kartik dibenarkan jamin dengan jumlah RM30,000 manakala Darga Devi sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin dan beberapa syarat tambahan seperti menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri ke balai polis berhampiran dua minggu sekali dan dilarang mendekati mangsa atau saksi kejadian.

Wan Mohd. Norisham turut menetapkan tarikh 24 November ini untuk sebuah semula kes dan serahan dokumen.

Pada 6 Oktober lalu, ibu Kartik, B. Mariamah, 60, dan kakaknya, R. Deeba, 37, telah dituduh di mahkamah, namun kedua-duanya mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan mendera dua beradik berkenaan. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN