KOTA BHARU: Mekanisme dan prosedur operasi standard (SOP) terkini berkaitan ibadat umrah membabitkan umat Islam dari negara ini dijangka selesai dirangka dan diumumkan selewat-lewatnya bulan depan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, mekanisme dan SOP baharu perlu dirangka seiring dengan perkembangan terkini pandemik serta norma baharu.
Paling penting, katanya, mekanisme dan SOP itu dirangka bagi menjamin keselamatan jemaah umrah.
“Mekanisme penghantaran jemaah ke tanah suci serta SOP norma baharu bagi mengerjakan ibadah umrah berkenaan akan ditetapkan Jabatan Perdana Menteri melalui agensinya, Jabatan Wakaf Haji dan Umrah,” katanya selepas menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengarah PUSPEN, Siti Rugayah Ismail dan Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Rahayu Ahmad.
Sumbangan tersebut disampaikan bagi membolehkan 195 pelatih di pusat berkenaan menjalankan aktiviti bercucuk tanam secara hidroponik.
Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, operasi dan kuota untuk penghantaran jemaah bagi ibadah umrah bergantung kepada kelulusan oleh kerajaan Arab Saudi.
“Kalau Arab Saudi bagi keizinan 100,000 orang jemaah sehari untuk melakukan ibadah umrah, ia satu jumlah yang sangat besar.
“Kita akan mematuhi apa yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi. Barangkali ada pecahan berapa untuk negara Asia, Malaysia dan lain-lain negara,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan kapasiti harian bagi jemaah umrah kini dinaikkan kepada 100,000 orang, bermula kelmarin. – UTUSAN ONLINE