Solskjaer tak menyesal ‘simpan’ Ronaldo - Utusan Malaysia

Solskjaer tak menyesal ‘simpan’ Ronaldo

CRISTIANO RONALDO (kanan) dimasukkan pada minit ke-57 ketika Manchester United seri dengan Everton.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Ole Gunnar Solskjaer menegaskan, dia tidak menyesali keputusan meletakkan Cristiano Ronaldo di bangku simpanan biarpun dikecam hebat selepas Manchester United seri 1-1 dengan Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris kelmarin.

Skuad Red Devils kini hanya mengutip satu daripada enam mata yang ditawarkan dalam dua perlawanan terakhir liga.

Solskjaer memilih untuk menurunkan Edinson Cavani dan Anthony Martial dalam kesebelasan utama di Old Trafford sambil menegaskan, mereka memerlukan pasukan ‘lebih segar’ kerana kepenatan secara fizikal serta mental selepas menewaskan Villarreal 2-1 pada aksi Liga Juara-Juara, Rabu lalu.

Keputusan Solskjaer tampak tepat pada mulanya selepas Martial meletakkan tuan rumah di depan, dua minit sebelum tamat babak pertama,  namun Andros Townsend menyamakan kedudukan di minit ke-65.

Penyokong yang berang menyelar Solskjaer di media sosial, malah ada yang mendesak agar jurulatih dari Norway itu dipecat. 

CRISTIANO RONALDO (kanan) dimasukkan pada minit ke-57.- AFP

Ronaldo, 36, yang dibawa masuk sebagai pemain gantian kelihatan amat kecewa dan dilihat membebel sendirian ketika berjalan di terowong pemain untuk ke bilik persalinan. 

Ketika ditanya apakah dia menyesali tindakan menyisihkan Ronaldo dari kesebelasan utama, Solskjaer membalas: “Tidak. Anda kena buat keputusan untuk jangka panjang kerana musim sangat panjang. Anda kena menguruskan pemain daripada dibebani kerja yang terlalu banyak. 

“Anthony Martial bermain baik dan menjaringkan gol cantik. Edinson (Cavani) memerlukan masa dan dia juga berpeluang menjaringkan gol. Kami kena buat keputusan yang tepat pada waktu itu.”

Selepas sepakan penjuru Bruno Fernandes mudah dikeluarkan pertahanan lawan, pemain tengah United, Fred memperoleh dua peluang terbaik selepas memenangi bola daripada Demarai Gray sebelum Everton melancarkan serangan balas untuk gol kemenangan Everton. 

Saingan Liga Perdana Inggeris akan berehat dua minggu bagi memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa, dan cabaran United tidak mudah apabila liga kembali bersambung pada pertengahan bulan ini.

Mereka akan menentang Leicester di tempat lawan pada 16 Oktober, diikuti bertemu Liverpool di Old Trafford (24 Oktober) dan Tottenham di London pada 31 Oktober.- AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya