JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membenarkan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di negeri ini dilaksana dengan mengikut had satu pertiga daripada kapasiti masjid atau surau berkuat kuasa Jumaat ini.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini yang diputuskan demi menjaga dan menghidupkan syiar Islam di negeri itu selari dengan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada individu yang telah lengkap mendapat suntikan vaksinasi Covid-19 dan dilaksanakan dengan mengikut kadar satu pertiga kapasiti masjid atau surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal satu meter.
Pengecualian mengenai vaksin hanya dibenarkan kepada individu yang mempunyai perakuan bertulis daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
Sementara itu, bagi jemaah lelaki yang belum mendapat suntikan vaksinasi lengkap, mereka hendaklah solat Zohor dan solat lima waktu di kediaman masing-masing dan tidak dibenarkan berada di tempat awam bagi mengelak fitnah.
“Bermula Jumaat ini juga, aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti membudayakan al-Quran, bacaan surah yasin dan tahlil, bacaan surah al-Mulk dan al-Kahfi serta kuliah Subuh dan Maghrib dibenarkan dengan had tidak melebihi satu jam.
“Penganjuran majlis seperti zikir, selawat dan kuliah umum pula adalah ditangguhkan sehingga dimaklumkan,” kata kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi; Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Datuk Md. Rofiki Samsudin hari ini.
Bagaimanapun penganjuran majlis sedemikian melalui kaedah secara dalam talian adalah digalakkan bagi memastikan program pengimarahan masjid dan dakwah dapat diteruskan.
Selain itu, aktiviti memasak dan jamuan dalam kawasan masjid dan surau juga adalah tidak dibenarkan dan juadah hendaklah secara bungkusan sahaja.