KEMAMAN: Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai di sini muncul johan pertandingan reka cipta antarabangsa, Do Your: Bit Challenge bagi Wilayah Asia-Pasifik baru-baru ini.
Pasukan yang disertai tiga pelajar tingkatan empat iaitu, Ahmad Nasharuddin Anua di samping Mifzal Haziq Mazelan dan Muhammad Amiruddin Amar itu berjaya mengetepikan lebih 400 penyertaan lain menerusi inovasi alat menganalisis peratusan oksigen.
Pengetuanya,Tengku Shahrir Tengku Dahlan berkata, pertandingan anjuran Yayasan Pendidikan Microbit itu diadakan secara dalam talian pada April hingga Julai lalu dan keputusannya diumumkan awal Oktober.
Katanya, pencapaian itu di luar jangkaan kerana bersaing dalam kategori 15 hingga 18 tahun dengan membabitkan penyertaan dari pelbagai negara.
“Kami difahamkan ini merupakan pertama kali Malaysia memenangi pertandingan itu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tengku Shahrir berkata, penghasilan alat itu mampu mengesan kadar penurunan oksigen akibat aktiviti pembalakan.
Sementara itu, seorang peserta, Ahmad Nasharuddin berkata, inovasi berkenaan dalam masa sama dapat membantu pihak Jabatan Perhutanan mengesan sebarang aktiviti pembalakan tidak terkawal.
“Produk ini tampil dengan dua alatan dengan setiap satunya ditempatkan dalam hutan dan bilik kawalan. Selang dua minit, maklumat oksigen akan dihantar kepada alat dalam kawalan sekali gus membantu memudahkan tugasan renjer hutan,” katanya. -UTUSAN ONLINE