SK Seberang Ramai bawa nama Perlis ke peringkat global - Utusan Malaysia

SK Seberang Ramai bawa nama Perlis ke peringkat global

TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL (kiri) bersama Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil (kanan) dan anakanda baginda berdua pada sesi perbentangan secara digital sempena program antarabangsa ‘T4 World Education Week, 2021’ di Perlis hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai di Kuala Perlis terpilih menyertai program antarabangsa ‘T4 World Education Week 2021’ yang berlangsung dari 3 hingga 8 Oktober secara digital yang sekali gus membawa nama negeri ini ke peringkat global.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penyertaan sekolah tersebut bersama 99 buah sekolah dan organisasi lain secara tidak langsung mempamerkan kebolehan pelajar dan warga sekolah luar bandar di negeri ini untuk turut menyerlah di peringkat lebih tinggi.

Baginda bertitah, literasi atau kebolehan membaca dan menulis merupakan perkara yang amat penting dan menjadi asas dalam pembelajaran.

 “Justeru, kebolehan literasi pelajar perlu ditingkatkan melalui pelbagai kaedah dan juga pendekatan. 

“Tahniah kepada SK Seberang Ramai di atas usahanya menutup jurang literasi dan menggabungkan pihak sekolah dan komuniti setempat secara bersama,” titah baginda pada sesi pembentangan yang berlangsung sempena program tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda baginda iaitu Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail; Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Puteri Sharifah Khatreena bertitah, walaupun teknologi berkembang dengan pesat dan peluang untuk memperoleh pengetahuan dengan membaca itu kini boleh didapati hanya di hujung jari, namun masih banyak yang memilih untuk mengabaikannya.

“Keupayaan membaca, menulis, bertutur, dan mendengar dengan berkesan adalah asas bagi masyarakat yang sejahtera. Literasi begitu penting terhadap pembangunan dan kesejahteraan ekonomi, individu dan masyarakat.

“Ekonomi, masyarakat dan negara akan ditingkatkan ketika pelajar memiliki kemahiran literasi yang tinggi,” titah Puteri Sharifah Khatreena.

Sementara itu, Puteri Sharifah Farah pula bertitah, institusi pembelajaran yang pertama adalah di rumah dan guru pertama pula merupakan ibu bapa dan persekitaran seseorang itu. 

“Pada saat kanak-kanak itu membuka matanya, maka, pembelajaran pun bermula. Setiap saat itu begitu penting di mana anak-anak akan mula mengikuti gaya bahasa, tingkah laku dan juga mengembangkan sikap serta pendapat tentang dunia di sekeliling mereka.

“Setelah itu, anak-anak akan dihantar ke sekolah untuk pembelajaran selanjutnya. Guru memberikan pengetahuan yang cukup berharga dan mereka mulai berkembang secara sosial ketika mana mula berinteraksi dengan rakan-rakan sebaya,” titahnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya