KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali memaklumkan Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa pihaknya telah menyerahkan sebanyak 21 dokumen kes berkenaan kepada barisan pembelaan.
Bagaimanapun, menurut Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias, dua lagi dokumen iaitu laporan psikiatri dan perubatan penuh mangsa masih belum dapat diserahkan.
Sementara itu, peguam bela, Yalini Munadamy yang mewakili Siti Bainun, 29, mengesahkan kenyataan yang dibuat pendakwaan ketika kes disebut di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Kes kemudian ditetapkan untuk pengurusan kes lanjutan pada 25 November ini.
Pada 20 Ogos lalu, Siti Bainun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan telah mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara Februari sehingga Jun lalu di sebuah unit kondominium di Seksyen 10, Wangsa Maju di sini.
Pertuduhan terhadap wanita terbabit dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 2 Ogos lalu, Siti Bainun turut memfailkan permohonan bagi mendapatkan hak penjagaan penuh lima anak angkatnya yang kini di bawah jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Kelima-lima anak angkatnya yang terdiri daripada dua lelaki dan tiga perempuan serta berusia di antara dua dan 16 tahun kini ditempatkan di dua rumah kebajikan iaitu di Rembau, Negeri Sembilan dan Kuala Kangsar, Perak.
JKM mengambil mereka daripada jagaan Siti Bainun pada 15 Julai lalu selepas wanita itu ditahan bagi membantu siasatan polis berikutan kejadian remaja sindrom down berusia 13 tahun dipercayai didera, tular di media sosial.
Mahkamah Kanak-Kanak menetapkan menetapkan 28 Oktober ini bagi mendengar permohonan Siti Bainun untuk mendapatkan hak penjagaan tersebut,
Pada 2 November ini pula, mahkamah akan mendengar permohonan tiga ibu daripada lima kanak-kanak itu untuk untuk membatalkan afidavit bagi menyokong permohonan hak penjagaan sementara yang difailkan sebelum ini. – UTUSAN ONLINE