KOTA BHARU: Seramai 135 orang atau kira-kira lima peratus daripada 2,600 tenaga pengajar sekolah-sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) belum menerima suntikan vaksin Covid-19.
Timbalan Pengarah (Pengurusan) YIK, Shamsul Abu Bakar berkata, selain mengandung dan faktor kesihatan, terdapat guru yang belum disuntik vaksin tanpa penjelasan kukuh.
Menurut beliau, perkembangan itu sedang dipantau dan pihaknya akan mengambil pendekatan sewajarnya untuk memastikan kadar vaksinasi mencapai sasaran 100 peratus.
“Kita sudah mengadakan perbincangan dengan mudir dan pengetua di sekolah-sekolah berhubung perkara itu.
“Dalam masa terdekat ini kita akan berjumpa dengan kakitangan itu untuk memberi penjelasan berkaitan vaksinasi dan meminta mereka segera mendapatkan suntikan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menerima 30 set sofa terpakai untuk kegunaan sekolah-sekolah YIK sumbangan Hotel The Grand Renai, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Shamsul berkata, terdapat sebilangan kecil pelajar di 93 sekolah YIK di seluruh negeri ini enggan divaksin kerana dipengaruhi ibu bapa.
“Kita akan cuba memujuk pelajar terbabit menerima vaksin bagi mengelak kesan buruk jika dijangkiti Covid-19,” katanya. – UTUSAN